Page 71 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 71
Terdapat strategi yang berfokus kepada mengurus tingkah laku negatif atau destruktif
seperti Multisystem Intervention Model yang diadaptasi oleh profesional dalam bidang kerja
sosial (School Social Work Practice). Model ini memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa
dan sekolah dengan sokongan daripada Multidisciplinary Team (MDT). Strategi ini
menggabungkan pelbagai perkhidmatan seperti terapi keluarga, latihan untuk ibu bapa, terapi
cara kerja, terapi pertuturan, latihan kemahiran sosial dan advokasi. Ahli MDT akan
menentukan tempoh, kekerapan, jenis dan stail aktiviti intervensi awal yang diperlukan
berdasarkan kepada situasi dan latar belakang keluarga, motivasi, keupayaan dan umur anak
kurang upaya yang terlibat (Landy & Menna, 2006). Contohnya, kanak-kanak yang
mempunyai tingkah laku negatif menunjukkan ciri seperti implusif, agresif dan mendesak yang
agak ketara semasa di rumah, sekolah dan komuniti. Intervensi spesifik diperlukan bagi
mengatasi isu neurologi, psikologi dan persekitaran yang mempengaruhi tingkah laku negatif
tersebut. Tenaga dan sumber yang digunakan adalah daripada warga sekolah, khidmat klinikal
(profesional seperti ahli psikologi, ahli terapi pertuturan dan sebagainya), rancangan
pendidikan individu (RPI), guru prasekolah, komuniti (kumpulan sokongan keluarga) dan
klinik setempat atau pusat intervensi komuniti.
KEPENTINGAN INTERVENSI AWAL
Intervensi awal ialah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan
kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan
fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajaran.
Perkhidmatan atau program intervensi awal yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan
kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan, iaitu
perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi (Sandler,
Brazdziunas, Cooley & De Pijem 2001) melalui pelbagai terapi atau perkhidmatan, seperti
terapi cara kerja, terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan untuk keluarga (Addison
2003). Keperluan program intervensi awal telah dibuktikan dengan kesan positif yang telah
dicapai oleh kanak-kanak kurang upaya. Perkhidmatan intervensi yang diberikan seawal
mungkin boleh membantu MBK meningkatkan peluang untuk berjaya di sekolah, bersaing
dengan rakan tipikal dan seterusnya berjaya dalam hidup. Menurut Kid Source (2000), kanak-
kanak kurang upaya yang menjalani intervensi awal berjaya kekal belajar di sekolah,
menamatkan persekolahan dengan berjaya memperoleh pekerjaan dan juga melanjutkan
pendidikan di universiti berbanding daripada mereka yang tidak mendapat intervensi awal.
Perkembangan dalam teknologi perubatan telah memberi ruang kepada penyediaan sokongan
intervensi awal seawal bayi dalam kandungan ibu. Individuals With Disabilities Education Act
(IDEA) di Amerika Syarikat menjadi mandat kepada sektor pendidikan (a federal education
law) untuk menyediakan perkhidmatan intervensi awal kepada bayi dan kanak-kanak bermula
dari lahir sehingga umur tiga tahun (‘birth to 3’ or ‘zero to 3’) setelah mereka didiagnosis
mempunyai perkembangan lambat (developmental delay) disebabkan keadaan ketidakupayaan
fizikal dan mental.
Matlamat utama intervensi awal adalah meningkatkan kemahiran kognitif, bahasa,
sosial dan emosi di kalangan kanak-kanak kurang upaya termasuk yang berisiko untuk
mengalami masalah dalam pembelajaran. Pada peringkat umur antara bayi sehingga memasuki
sekolah, pertumbahan kanak-kanak secara umumnya adalah pada peringkat yang paling
penting dan paling cepat khususnya dalam perkembangan motor, sensori, sosial emosi, kognitif
dan fizikal. Prasekolah merupakan tempoh yang paling kritikal untuk perkembangan tersebut
dan intervensi awal perlu diberikan segera untuk mengurangkan risiko kanak-kanak kurang
upaya daripada gagal dalam pembelajaran Bazyk et al. (2009).
61

