Page 72 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 72
Perkhidmatan intervensi awal bagi kanak-kanak kurang upaya meliputi pendidikan,
terapi (terapi cara kerja, terapi pertuturan, fisioterapi dan lain-lain), kaunseling, psikologi,
audiologi, orthoptics, dan sokongan daripada pekerja sosial serta jagaan (care) dan kesihatan.
Program intervensi awal di Malaysia khususnya di pusat yang dikendalikan oleh badan bukan
kerajaan atau non-government organization (NGO) telah menyediakan pelbagai perkhidmatan
intervensi tersebut. Sebagai contoh, Kidsogenius Early Intervention Program (KIDS EIP) di
Damansara, Kuala Lumpur menawarkan perkhidmatan mengikut umur bermula daripada dua
tahun hingga 6 tahun. Kanak-kanak kurang upaya antara dua hingga tiga tahun diberikan
program seperti asas kemahiran bahasa dan motor, konsep nombor, bermain muzik dan
pergerakan, aktiviti sensori, terapi pertuturan dan terapi cara kerja. Kanak-kanak kurang upaya
antara empat hingga lima tahun disediakan dengan program literasi dan numerasi awal,
kemahiran asas mengurus diri, kemahiran pravokasional, konsep belajar, social story, role
playing, terapi pertuturan dan terapi cara kerja. Manakala kanak-kanak kurang upaya berumur
enam tahun diajar kemahiran literasi, nombor dan matematik berfungsi, kemahiran mengurus
diri, kemahiran pravokasional, minat (hobi), social story, role playing, terapi pertuturan dan
terapi cara kerja.
Perkhidmatan intervensi awal khususnya pada peringkat awal kanak-kanak juga
menyediakan sokongan kepada ibu bapa dan keluarga. Oleh kerana intervensi awal perlu
berlaku seawal yang boleh, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan utama untuk mengenal
pasti dan merancang program intervensi awal yang diperlukan oleh anak kurang upaya mereka.
Ibu bapa perlu diberi latihan kemahiran mengurus anak kurang upaya dari aspek tingkah laku,
emosi dan kognitif serta dibantu oleh kaunselor atau ahli psikologi dalam menghadapi perasaan
terkejut, marah, sedih dan kecewa dengan ujian diberikan kepada anak kurang upaya dalam
hidup mereka (Kandel and Merrick, 2003). Ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak
kurang upaya didapati mempunyai tekanan yang lebih tinggi daripada ibu bapa lain (Woodman,
2014). Ibu bapa kanak-kanak kurang upaya mempunyai banyak tanggungjawab dan peranan.
“With a special needs child, a parent has to learn to be patient, to
be a nurse, to be a lawyer because I have to be a good mediator
for all the things that happen to my child.”
A Voice from Mother in Omaha, Nebraska
IDEA memastikan setiap keluarga yang mempunyai anak kurang upaya menerima
Individualized Family Service Plan (IFSP). IFSP menyediakan rangka pelan intervensi awal
yang diperlukan lengkap dengan tempoh aktiviti dan profesional atau agensi yang
bertanggungjawab bermula daripada masa kelahiran anak kurang upaya tersebut. Di Malaysia
sistem seperti IFSP belum wujud bagi memastikan ibu bapa yang mempunyai anak kurang
upaya menghantar anak mereka untuk intervensi awal sebelum memasuki alam persekolahan.
Oleh itu, kanak-kanak kurang upaya di Malaysia ramai yang memasuki persekolahan tanpa
melalui intervensi awal. Ini menyebabkan keperluan intervensi awal perlu diberi penekanan
dan dijadikan sebagai elemen dan asas penting dalam kurikulum prasekolah.
PAKAR INTERVENSI AWAL
Profesional yang melaksanakan intervensi awal selain daripada pakar-pakar terapi dari bidang
perubatan kebiasaanya bermula daripada guru pendidikan khas dengan memperoleh ijazah
sarjana muda pendidikan khas. Seterusnya mereka akan melanjutkan pendidikan ke program
ijazah sarjana dalam pendidikan khas dengan pengkhususan dalam bidang intervensi awal atau
early childhood intervention. Struktur laluan kerjaya ini dapat dilihat dengan jelas di Amerika
Syarikat di mana ia membolehkan seseorang guru menjadi pakar intervensi melalui setelah
62

