Page 76 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 76

Boom, M., 1999). Oleh sebab itu, elemen intervensi awal perlu didedahkan dan diinklusifkan
               dalam kurikulum prasekolah.
                       Menurut Case-Smith (2000), beliau telah mengenal pasti kesan aktiviti terapi cara kerja
               ke  atas  kemahiran  motor  halus  kanak-kanak  prasekolah  yang  mengalami  kelewatan  dalam
               perkembangan kemahiran motor halus. Aktiviti terapi cara kerja berupaya membantu kanak-
               kanak  dalam  mempertingkatkan  potensi  kemahiran  motor  halus  mereka.  Dalam  aspek
               pengurusan diri, wujud korelasi yang ketara antara kemahiran motor halus dengan penguasaan
               kemahiran kanak-kanak di meja makan, penjagaan kebersihan diri serta kemahiran berpakaian.
                       Terapi  cara  kerja  membantu  kanak-kanak  bermasalah  penglihatan  meningkatkan
               potensi motor halus yang berfungsi semasa melakukan aspek-aspek dalam kemahiran di meja
               makan. Selain itu, menurut Fazzi, Signorini, Bova, Ondei dan Bianchi (2005) pula program
               rehabilitasi  boleh  dijalankan  kepada  kanak-kanak  bermasalah  supaya  dapat  menjana
               penguasaan dalam kemahiran baharu serta mengelak dari mengalami kecacatan baharu kesan
               daripada limitasi penglihatan yang dialami kanak-kanak tersebut. Program rehabilitasi ini akan
               menggalakkan perkembangan kemahiran-kemahiran individu secara lebih menyeluruh.
                       Selain daripada intervensi dan rehabilitasi, perkembangan kanak-kanak dalam pelbagai
               aspek  melibatkan  kolaborasi  dan  pengaruh  antara  persekitaran,  kanak-kanak  dan  keluarga
               (Bazyk  et  al.,  2009).  Kanak-kanak  berkeperluan  khas  cenderung  untuk  menerima  atau
               mempelajari kemahiran motor halus di persekitaran mereka seperti di rumah dan di bilik darjah.
               Bazyk et al. (2009) dalam kajiannya ke atas kanak-kanak prasekolah berkeperluan khas dan
               kanak-kanak tipikal yang mengalami perkembangan yang lewat dengan mengintegrasi aktiviti
               kemahiran  motor  halus  ke  dalam  kurikulum  pembelajaran  mereka,  mereka  dilihat  telah
               mengalami  perubahan  yang  signifikan  dalam  aspek  koordinasi  mata  tangan  selepas  terapi
               selama  tujuh  bulan.  Dapatan  dalam  kajian  ini  menjelaskan  bahawa  apabila  kanak-kanak
               berkeperluan  khas  mengikuti  terapi  atau  aktiviti  kemahiran  motor  halus  secara  konsisten,
               mereka  berupaya  untuk  menambah  baik  pergerakan  motor  halus  mereka.  Secara
               keseluruhannya, perkembangan dan penguasaan kemahiran ini akan membantu dalam pelbagai
               aktiviti kehidupan harian agar kanak-kanak kurang upaya penglihatan dapat berdikari seperti
               kanak-kanak tipikal yang lain.
                       Pelbagai intervensi awal juga boleh dilaksanakan bagi membantu kanak-kanak kurang
               upaya  penglihatan  dalam  memperkembangkan  keupayaan  motor  halus  dan  urus  diri.
               Berdasarkan garis panduan Programming for Individual Needs: Teaching Children who are
               Blind or Visually Impaired yang disediakan oleh Department of Education, Government of
               Newfoundland and Labrador (2001), salah satu kemahiran hidup berdikari yang perlu dikuasai
               oleh kanak-kanak kurang upaya penglihatan adalah kemahiran urus diri. Antara kemahiran urus
               diri  yang penting termasuklah kemahiran berpakaian, kemahiran penjagaan kebersihan diri
               serta kemahiran di meja makan. Ketiga-tiga aktiviti ini melibatkan beberapa kemahiran motor
               halus murid seperti pergerakan pergelangan tangan, kawalan mulut dan kepala serta koordinasi
               mata-tangan-mulut (Bazyk et al., 2009). Bagi menguasai kemahiran di meja makan, aktiviti
               yang sesuai dilaksanakan adalah seperti menyapu roti dengan marjerin dan menuang susu ke
               dalam gelas. Sebelum memulakan pembelajaran kemahiran urus diri, guru perlu memastikan
               murid lebih bersedia dalam kemahiran asas motor halus seperti kekuatan genggaman.
               Penguasaan dalam kemahiran menggenggam bukan sahaja melibatkan keupayaan murid untuk
               memegang suatu objek malah melibatkan keupayaan mereka untuk mengawal pergelangan
               tangan (Feder & Majnemer, 2007). Kemahiran ini sentiasa berkembang daripada peringkat bayi
               sehingga kanak-kanak dan amat penting dalam melakukan aktiviti seperti memegang sesuatu
               objek kecil seperti butang dan baju. Kemahiran ini bermula dengan penguasaan memegang
               objek menggunakan sebelah tangan seterusnya berkembang kepada keupayaan menggunakan
               kedua-dua belah tangan untuk memegang. Menurut Mulligan (2003), pelbagai cara genggaman
               dilakukan mengikut kesesuaian saiz dan bentuk objek yang hendak dipegang. Keupayaan ini
                                                           66
   71   72   73   74   75   76   77   78   79   80   81