Page 80 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 80

Kesediaan Guru Sekolah Rendah Menyepadukan Pendidikan Sivik Dalam Mata
                                                        Pelajaran

                                             Joshua Caseley Anak Akun, PhD
                                             Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
                                               drjoshcaselee1982@gmail.com

                                                         Abstrak

               Pengenalan  Pendidikan  Sivik  merupakan  usaha  untuk  melahirkan  warganegara  yang
               mengetahui  hak,  bertanggungjawab  dan  berakhlak  mulia  bagi  menyumbang  ke  arah
               kesejahteraan masyarakat, negara dan global dengan berfokus kepada literasi sivik dan amali
               sivik. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesediaan guru sekolah rendah untuk
               menyepadukan pendidikan sivik dalam mata pelajaran. Tahap kesediaan  guru  dilihat dari
               aspek  pengetahuan  kandungan  perincian  pendidikan  sivik,  pengetahuan  pedagogi  dan
               pengetahuan pentaksiran. Sampel kajian terdiri daripada 811 orang guru sekolah rendah di
               daerah  Kuching  dan  Padawan  Sarawak.  Data  dianalisis  dengan  menggunakan  statistik
               deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kesediaan guru adalah
               sederhana  bagi  aspek  pengetahuan  kandungan  perincian,  pengetahuan  pedagogi  dan
               pengetahuan pentaksiran. Selain itu, analisis korelasi pula menunjukkan terdapat hubungan
               yang  signifikan  antara  kesemua  aspek  yang  dikaji  dengan  kesediaan  guru  untuk
               menyepadukan  pendidikan  sivik  dalam  mata  pelajaran.  Oleh  yang  demikian,  kajian  ini
               mencadangkan supaya aspek latihan serta bimbingan khususnya dalam penghasilan modul
               exemplar pendidikan sivik sebagai rujukan dan panduan mengajar perlu dilaksanakan secara
               berterusan.

               Kata Kunci : Pendidikan Sivik, pengetahuan kandungan, pengetahuan pedagogi, pengetahuan
               pentaksiran,kesediaan guru

                                                    PENGENALAN

               Anjakan tiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berfokus
               kepada  melahirkan  insan  yang  menghayati  nilai  selaras  dengan  Falsafah  Pendidikan
               Kebangsaan  yang  memberikan  penekanan  kepada  pembangunan  manusia  secara  holistik
               (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Menerusi pelan ini impak yang dijangkakan juga
               terhadap  murid  adalah  apabila  menamatkan  alam  persekolahan,  murid  akan  mempunyai
               pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai hidup yang tinggi, dan berupaya bersaing
               dengan rakan sebaya dari negara lain. Oleh yang demikian, antara usaha yang dilakukan oleh
               pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menggalakkan pembudayaan nilai dalam
               kalangan murid ialah dengan memperkenalkan semula pendidikan sivik di sekolah mulai Jun
               2019.
                       Pendidikan sivik yang diperkenalkan semula menerusi 12 Inisiatif Terbaharu Peringkat
               Sekolah oleh pihak KPM ini menekankan kepada empat nilai teras utama iaitu kasih sayang,
               hormat menghormati, bertanggungjawab dan kegembiraan. Berdasarkan kepada empat nilai
               teras utama ini, maka matlamat akhir pendidikan sivik ialah untuk melahirkan warganegara
               yang  mengetahui  hak,  bertanggungjawab  dan  berakhlak  mulia  bagi  menyumbang  ke  arah
               kesejahteraan  masyarakat,  negara  dan  global  (Kementerian  Pendidikan  Malaysia,  2019).
               Berdasarkan matlamat tersebut, pendidikan sivik memfokuskan kepada dua aspek iaitu literasi
               sivik dalam bilik darjah dan amali sivik di luar bilik darjah.


                                                           70
   75   76   77   78   79   80   81   82   83   84   85