Page 81 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 81

Sementara itu, pelaksanaan pendidikan sivik di peringkat sekolah melibatkan empat
               strategi  iaitu  menerusi  kurikulum,  perhimpunan  sekolah,  kokurikulum  dan  aktiviti  atau
               program sekolah. Dalam aspek kurikulum sekolah rendah dan sekolah menengah, pendidikan
               sivik disepadukan dalam lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah,
               Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam. Jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran yang
               diperuntukkan ialah selama satu jam pada minggu ke-4 setiap bulan. Dalam erti kata lain, pada
               minggu ke-4 guru perlu merancang dan memilih tajuk mengikut nilai teras pendidikan sivik
               yang  boleh  disepadukan  dengan  standard  kandungan,  standard  pembelajaran  dan  standard
               prestasi seperti mana tercatat dalam Dokumen Standard Kandungan dan Pentaksiran (DSKP).
                       Guru perlu merujuk DSKP mata pelajaran terbabit dan menyesuaikan dengan perincian
               pendidikan sivik. Setelah itu, guru akan membina modul exemplar pendidikan sivik sebagai
               rujukan dan panduan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, guru harus
               bijak serta kreatif dalam memilih aktiviti pembelajaran supaya murid dapat menguasai literasi
               sivik yang mengandungi pengetahuan sivik, sosioemosi dan tindakan sivik. Pada akhir sesi
               pengajaran dan pembelajaran, murid harus mengetahui hak dan tanggungjawab mereka dalam
               hidup bermasyarakat.
                       Seterusnya,  bagi  mencapai  matlamat  penghasilan  modal  insan  yang  mempunyai
               pemikiran dan tindakan sivik, adalah penting untuk terlebih dahulu memastikan bahawa guru
               benar-benar bersedia dari aspek penguasaan kandungan serta berkemampuan untuk mengajar
               dan  mentaksir  pembelajaran  murid.  Kesediaan  guru  perlu  mantap  agar  murid  memperoleh
               pengetahuan  serta  pengalaman  sivik  dan  mengaplikasikan  pemikiran  sivik  tersebut  dalam
               kehidupan harian.

               Pernyataan Masalah

               Pelaksanaan penyepaduan pendidikan sivik dalam mata pelajaran yang bermula pada Jun 2019
               merupakan satu langkah proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan
               warganegara yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan berakhlak mulia bagi menyumbang
               ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global. Lantaran itu, pihak KPM bersama Jabatan
               Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah melaksanakan kursus
               penataran pendidikan sivik kepada guru-guru di peringkat awal pelaksanaannya. Semasa sesi
               penataran tersebut, guru-guru diberikan latihan berkaitan pembinaan modul examplar sebagai
               rujukan dan panduan pengajaran dan pembelajaran. Oleh  yang demikian, wujud keperluan
               untuk  meneliti  secara  menyeluruh  akan  kesediaan  dan  kebolehlaksanaan  guru-guru
               melaksanakan pendidikan sivik ini di sekolah.
                       Sementara  itu,  pengetahuan  guru  dan  pengajaran  guru  dalam  mata  pelajaran  yang
               menjurus  kepada  pembentukan  kewarganegaraan  seperti  Pendidikan  Sivik  dan  Sejarah
               misalnya  sangat  mempengaruhi  keupayaan  mereka  untuk  menerapkan  kompetensi
               kewarganegaraan dalam kalangan murid. Kajian lepas menunjukkan tahap kesediaan guru-
               guru  adalah  pada  aras  sederhana  dari  aspek  kemahiran  membuat  kronologi,  kemahiran
               meneroka bukti dan membuat interpretasi (Zahara & Nik Azleena, 2007). Pengajaran guru
               dikatakan  bersifat  indoktrinasi  dan  tidak  kreatif,  bercorak  sehala  dan  tidak  mewujudkan
               peluang berinteraksi di antara guru dan murid (Anuar, Siti Haisah & Nur Atiqah, 2009).
                       Dalam pada itu, amalan pedagogi yang terlalu bersifat tradisional akan mengakibatkan
               kandungan yang ingin disampaikan oleh guru tidak dapat diterima dengan baik oleh murid
               (Anuar et al., 2009). Perkara ini menimbulkan situasi proses pengajaran dan pembelajaran yang
               sangat membosankan. Kajian juga menunjukkan bahawa pendidikan sivik gagal memainkan
               peranan  untuk  mengukuhkan  pengetahuan,  nilai  dan  perasaan  kebanggaan  kepada  negara
               dalam kalangan generasi muda (Siti Hasnah, Mohd Madzan, & Abdul Raqaz, 2017). Kegagalan
               ini  mempunyai  perkaitan  dengan  faktor  pengajaran  yang  lemah  di  sekolah  sekaligus
                                                           71
   76   77   78   79   80   81   82   83   84   85   86