Page 82 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 82
mempengaruhi penerimaan dan gerak balas murid kepada mata pelajaran pendidikan sivik
(Chang, 2005).
Strategi terbaharu menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), pendidikan sivik disepadukan dalam
pelbagai mata pelajaran (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). Pelaksanaan pendidikan
sivik menerusi kurikulum memerlukan kesediaan guru yang cukup rapi bagi memastikan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai serta sekaligus melahirkan
warganegara murid yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
Sehubungan dengan itu, kajian yang bertujuan mengenal pasti tahap pengetahuan kandungan,
pedagogi dan pentaksiran guru yang menyepadukan pendidikan sivik dalam mata pelajaran
amat penting untuk dilaksanakan. Memandangkan penyepaduan pendidikan sivik dalam mata
pelajaran merupakan strategi baharu, maka didapati kajian-kajian berkaitan kesediaan guru
dalam perkara ini masih amat kurang dijalankan oleh penyelidik dan pengamal pendidikan.
Kajian ini penting dalam membantu mendapatkan permasalahan pengajaran guru serta
seterusnya menentukan bentuk-bentuk intervensi yang harus dilaksanakan supaya pelaksanaan
pendidikan sivik di sekolah mencapai matlamat asalnya.
TINJAUAN LITERATUR
Pendidikan sivik membawa konotasi yang cukup luas dan telah ditakrifkan daripada pelbagai
sudut dan pandangan oleh para sarjana, penyelidik bebas mahupun organisasi tertentu.
Bermula dengan pandangan tradisional yang menekankan konsep pendidikan sivik adalah lebih
kepada latihan kewarganegaraan. Kemudian perkembangan seterusnya kepada mengkaji
kewarganegaraan secara lebih spesifik dalam konteks perkembangan kesetiaan politik dan
patriotisme. Sarjana terkemudian seperti Janowitz (1982) terus memberikan penekanan bahawa
pendidikan sivik itu bertujuan untuk meningkatkan kesetiaan dan semangat patriotisme melalui
kesedaran sivik yang tinggi.
Selepas era 1990-an, sarjana-sarjana terus mengembangkan lagi konsep pendidikan
sivik dengan mengaitkannya kepada perkembangan demokrasi iaitu pendidikan demokrasi dan
kewarganegaraan demokratik (Finkel, 2002). Sebagai contoh, di dunia barat penekanan
terhadap pelbagai bentuk program dan pendekatan pendidikan sivik adalah seiring dengan
proses pendemokrasian yang berlaku dalam negara itu. Menurut Quigley (1999) dan Finkel
(2002) di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara di Barat Eropah yakin bahawa pendidikan
sivik merupakan satu usaha untuk mempelajari dan memantapkan demokrasi serta
mengukuhkan masyarakat sivil.
Pendidikan sivik menyediakan satu kerangka yang positif bagi pembentukan identiti
sivik kolektif. Seperti mana yang ditekankan oleh Parker (2007), pendidikan sivik di sekolah
mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan pembentukan negara bangsa, di mana setiap
individu terikat kepada platform nasional. Pengenalan pendidikan sivik akan mengukuhkan
kesedaran sivik dan memupuk kesetiaan pada negara yang memungkinkan identiti sivik
kolektif terbentuk (Brahm, 2006). Perkara ini jelas menunjukkan bahawa konsep pendidikan
sivik memfokuskan kepada tindakan mendidik setiap warganegara dengan ilmu berkaitan
politik, pentadbiran dan kerajaan. Usaha ini perlu dilakukan pada setiap individu seawal usia
kanak-kanak lagi dan perlu ada kesinambungan pendidikan yang berterusan sehinggalah
seseorang individu itu matang dalam segenap aspek kehidupan terutamanya kematangan dalam
menunaikan tanggungjawab terhadap negara.
Di Malaysia, mata pelajaran pendidikan sivik telah pun diperkenalkan di sekolah-
sekolah sejak tahun 1954 melalui cadangan Laporan Pelajaran Tahunan 1952 (Robiah &
Zahara, 1992). Ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan sivik diajar semenjak negara masih
72

