Page 84 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 84

murid  mempelajari  dan  menguasai  kandungan  sesuatu  pelajaran.  Oleh  yang  demikian,
               penyepaduan  pendidikan  sivik  dalam  mata  pelajaran  bukan  sahaja  memerlukan  guru
               memahami fakta, prosedur dan konsep yang diajar tetapi juga perlu memahami bagaimana
               mengaitkan satu idea dengan satu idea yang lain seperti mana yang terkandung dalam dokumen
               perincian pendidikan sivik.

               Pengetahuan Pedagogi

               Seterusnya, guru juga perlu menguasai pengetahuan pedagogi yang merangkumi kefahaman
               guru  menterjemahkan  kandungan  perincian  pendidikan  sivik  dalam  proses  pengajaran  dan
               pembelajaran. Penyepaduan pendidikan sivik dalam mata pelajaran memerlukan guru untuk
               memastikan  murid  mencapai  hasil  pembelajaran  yang  menekankan  kepada  penguasaan
               pengetahuan  sivik,  menzahirkan  sosioemosi  dan  melaksanakan  tindakan  sivik  berdasarkan
               situasi-situasi tertentu. Justeru itu pendekatan, strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran
               yang digunakan perlu ampuh dan bersesuaian dengan aras pembelajaran murid.
                       Lebih-lebih lagi  pendidikan masa kini  yang memerlukan  golongan  guru menguasai
               ilmu pedagogi yang dikenali sebagai pembelajaran abad ke-21. Pembelajaran abad ke-21 bukan
               hanya sekadar tertumpu kepada prasarana dan susun atur bilik darjah tetapi penentu utama
               kejayaannya  adalah  aktiviti  pengajaran  dan  pembelajaran  yang  berpusatkan  murid,
               pembelajaran secara kolaboratif, pembelajaran kontekstual dan integrasi dengan masyarakat
               (Voogt, Erstad, Dede & Mishra, 2013). Lima standard asas iaitu komunikasi, kreativiti, kritis,
               kolaboratif  dan  nilai  murni  perlu  diterapkan  dalam  proses  pembelajaran  murid.  Oleh  itu,
               penyepaduan pendidikan sivik dalam mata pelajaran harus melibatkan aktiviti pembelajaran
               murid yang menekankan unsur interaksi pelbagai hala, penjanaan idea, penerokaan pemikiran
               untuk menilai sesuatu idea atau situasi secara rasional serta kerjasama aktif dan menyeluruh
               yang membolehkan pertukaran idea antara murid.

               Pengetahuan Pentaksiran

               Pengetahuan  berkaitan  pentaksiran  juga  perlu  dikuasai  dengan  baik  oleh  seseorang  guru.
               Elemen  pentaksiran  memberi  fokus  kepada  perkembangan  dan  penguasaan  murid  dalam
               pembelajaran  (Dana,  2015).  Disamping  itu,  pelaksanaan  pentaksiran  juga  membantu  guru
               dalam  mengenal  pasti  keberkesanan  pedagogi  yang  digunakan  semasa  menyampaikan
               kandungan  pelajaran  kepada  murid.  Selanjutnya,  maklumat  daripada  pentaksiran  dapat
               digunakan untuk merancang tindakan susulan sama ada semasa pengajaran dan pembelajaran
               (PdP) atau selepas PdP.
                       Pentaksiran  merupakan  proses  berterusan  dalam  sesi  PdP  yang  melibatkan  proses
               mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi. Guru perlu melaksanakan
               pentaksiran secara konsisten agar tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti dari semasa ke
               semasa (Scholtz, 2007). Melalui pentaksiran guru boleh membantu memberikan ruang dan
               meningkatkan  autonomi  murid  untuk  memperbaiki  diri.  Sehubungan  itu,  guru-guru  yang
               terlibat dalam menyepadukan pendidikan sivik dalam mata pelajaran perlu memahami segala
               kaedah  pentaksiran  sama  ada  secara  lisan,  bertulis  atau  pemerhatian  bagi  mewujudkan
               pengalaman  pembelajaran  yang  baik  kepada  murid  dan  secara  tidak  langsung  proses
               pembinaan modal insan yang holistik dapat diteruskan sejajar dengan saranan kerajaan.





                                                           74
   79   80   81   82   83   84   85   86   87   88   89