Page 40 - LAPORAN PEO.pdf
P. 40
Laporan Kajian Objektif Pendidikan Program (PEO)
Pembelajaran Sepanjang Hayat menyokong kreativiti dan inovasi serta memberi peluang
penglibatan menyeluruh untuk pembangunan ekonomi dan sosial (Commission of The
European Communities, 2007). Menurut Anderson (1999), PSH sekarang dilihat sebagai satu
keperluan sosial dan ekonomi. Pelaksanaan masih menjadi halangan dan cabaran terbesar
kepada strategi pendidikan sepanjang hayat di mana ia memerlukan komitmen institusi yang
tinggi selain daripada koordinasi dan rakan kongsi dari stakeholder yang terlibat. Usaha yang
berterusan mampu merealisasikan apa yang diharapkan (Commission of The European
Communities, 2007).
2.4.6 Nilai dan Sikap Profesionalisme, Ciri-Ciri Kepimpinan, Berkemahiran
Sosial, Bertanggungjawab dan Mampu Melaksanakan Kerja Berpasukan
dalam Kalangan Graduan PISMP
Keupayaan guru untuk mengaplikasikan nilai dan sikap profesional dalam penyampaian
pengetahuan dan mengimplementasikan penambahbaikan di sekolah adalah sangat penting.
Kenyataan ini diperteguhkan oleh Harris (2011) yang menyatakan bahawa perkara paling
utama dalam melakukan penambahbaikan yang berkekalan adalah meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran guru. Kajian oleh Postholm (2011) berkaitan pembelajaran
guru melalui aktiviti di sekolah mendapati, guru mahu diberi peluang membuat pemerhatian
ke atas amalan pengajaran guru lain dan menggunakan hasil pembelajaran dari pemerhatian
tersebut untuk membuat refleksi dan menambah baik amalan pengajaran mereka. Kajian oleh
Henze, Van Driel dan Verloop (2009) berkaitan pembelajaran guru yang berpengalaman
dalam konteks inovasi pendidikan mendapati guru belajar secara individu dan kolaboratif
melalui beberapa kaedah seperti daripada guru lain, bertukar-tukar cerita, bantuan peralatan,
idea dan amalan baik. Justeru, Jamaliah Abdul Hamid (2008) merumuskan bahawa
peningkatan tahap pengetahuan individu guru melalui aktiviti membaca, membuat refleksi
kendiri, mencatat dan menyimpan maklumat penting serta berbincang bersama-sama rakan
akan meningkatkan kualiti kerja guru.
Pemimpin pendidikan seperti pengetua atau guru besar perlu memainkan peranan
sebagai pemimpin instruksional dan pada masa yang sama perlu memainkan peranan
sebagai pemimpin kurikulum (James & Balasandran, 2009). Salah satu elemen penting yang
menjadi nadi keberkesanan sekolah ialah kepemimpinan pengajaran guru. Kekuatan dan
kualiti kepemimpinan pengajaran terletak pada keupayaan guru menginstitusikan dan
merealisasikan visi dan misi yang diterapkan dalam sekolah. Kedua-dua komponen ini pula
ditentukan oleh proses pemahaman dan penghayatan yang terkandung secara komprehensif
dalam minda guru yang diterjemahkan dalam bentuk aplikasi P&P di dalam bilik darjah.
24

