Page 41 - LAPORAN PEO.pdf
P. 41
Laporan Kajian Objektif Pendidikan Program (PEO)
Guru baharu adalah merupakan mereka yang telah dilatih di IPG seharusnya telah
melengkapkan diri sebagai insan guru yang professional dalam kemahiran sosial (White &
Burke, 2001). Mereka harus mempunyai kemahiran pengajaran yang secukupnya, memiliki
ilmu pengetahuan bidang pengkhususan, bermotivasi tinggi, berkaliber, kompeten,
berinovatif, berkarisma dan berupaya menjadi agen reformasi pendidikan yang berwibawa.
Mereka adalah sebahagian daripada pendidik negara yang merupakan komponen teras yang
menentukan kejayaan pelaksanaan kurikulum tersurat dan tersirat yang terkandung dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Marzuki & Don, 2007; Abdul Ghafar & Ariffin, 2008).
Profesion keguruan merupakan profesion yang sungguh mencabar memandangkan
tugasnya yang begitu banyak dan tanggungjawabnya yang begitu berat. Di Malaysia,
persoalan mengenai tekanan kerja dalam kalangan guru-guru sering menjadi topik
penyelidikan. Beban tugas yang banyak telah menimbulkan kerumitan, ketidakpuasan hati
dan keletihan emosi kepada guru. Di dalam kelas guru juga terpaksa membuat pelbagai
keputusan dalam satu jangka waktu yang singkat (40 hingga 80 minit). Setiap hari seorang
guru akan berhadapan dengan 20 hingga 120 orang pelajar dalam kelas yang terdiri daripada
20 hingga 30 orang pelajar. Guru tidak boleh menumpukan perhatian terhadap seorang
pelajar sahaja, tetapi kepada semua pelajar dalam kelasnya yang mempunyai kepelbagaian
minat, bakat, keadaan emosi dan latar budaya. Oleh itu, sebagai seorang guru perlu
menumpukan perhatian sekali gus terhadap semua pelajar dan ini memerlukan komitmen
tinggi.
Kementerian Pendidikan Malaysia amat menggalakkan amalan pengurusan berkualiti
melalui kepimpinan guru dan pembentukan kerja berpasukan. Pembentukan kerja
berpasukan dapat mewujudkan kerjasama yang dapat mendidik warga sekolah kepada
keseronokan bekerja, meningkatkan produktiviti, memberi kepuasan kerjak dan dapat
menyelesaikan sesuatu masalah yang kompleks. bekerja. Selain itu, kerja berpasukan dapat
mewujudkan interaksi antara anggota kumpulan akan lebih berkesan (Mohd Najib, 2007).
Asas kehidupan manusia sejak awal lagi ialah dalam bentuk komuniti berkumpulan,
perlindungan, membentuk kerajaan, rekreasi dan pekerjaan. Ahli dalam kumpulan adalah
bergantung antara satu sama lain bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Sehubungan
itu, amalan kerja berpasukan wujud bagi memudahkan urusan kerja atau tugasan yang
dijalankan bagi mencapai matlamat organisasi. Amalan kerja berpasukan akan dapat
meningkatkan potensi, kebolehan serta kemahiran guru dan akhirnya menyumbang kepada
kecemerlangan sekolah. Justeru itu satu kajian perlu dilakukan untuk mengkaji tahap
pengetahuan dan tahap kerja berpasukan guru di sekolah.
25

