Page 53 - JURNAL PENYELIDIKAN ILMU PENDIDIKAN 2021
P. 53
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 6 / 2 0 2 1 | 45
RUMUSAN DAN CADANGAN
Wabak Penyakit Coronavirus (COVID-19) menimbulkan kebimbangan serius
terhadap sistem pendidikan global (World Health Organization 2020a). Usaha
membendung COVID-19 mendorong penutupan sekolah yang tidak dijadualkan di
lebih dari 100 negara di seluruh duniadan menyebabkan lebih satu bilion pelajar tidak
hadir ke sekolah (World Health Organization 2020b). Maka PdP secara dalam talian
menjadi satu alternatif bagi semua pelajar meneruskan pengajian demi memacu
kejayaan. Namun begitu aspek motivasi tidak harus diabaikan (Azlina 2020). PdP
yang melibatkan peranan dua pihak iaitu guru sebagai penyampai maklumat dan
pelajar sebagai penerima maklumat perlu bekerjasama dalam memupuk motivasi
yang tinggi supaya aktiviti PdP dapat dijayakan dengan sebaiknya (Crawford et
al.2020). Pengekalan tahap motivasi yang baik juga merupakan satu langkah yang
penting memandangkan tahap motivasi boleh berubah-ubah bergantung kepada
faktor-faktor yang boleh menjejaskannya (Linda et al. 2017). Kelangsungan motivasi
ini akan menjamin kelangsungan usaha dan tindakan yang aktif dalam mencapai
matlamat yang telah disasarkan. Kajian melaporkan program pembelajaran di rumah
menyebabkan pelajar menjadi lebih tertekan daripada bilik darjah biasa (Avi Besser,
Gordon & Virgil 2020).
Pengalaman kelas maya, kesabaran, empati, perhatian terhadap pelajar,
kemahiran persembahan yang sangat baik dengan menangani topik tertentu,
pengendalian alat pengajaran-pembelajaran yang tersedia dengan ciri-ciri yang mesra
pengguna adalah kemahiran tambahan yang didapati untuk membantu proses
pengajaran dalam talian (Preedep 2020). Selain itu, bahan kajian untuk rujukan,
bahan kajian digital seperti akses percuma ke e-buku dan e-jurnal, sumber pendidikan
terbuka, pangkalan data, sambungan internet peribadi dan institusi, Wi-fi, akses ke
akaun percuma di Zoom dan Google Meet sebagai sumber yang memudahkan
interaksi pendidik dan pelajar serta semua warga institusi pendidikan (Lokanath,
Tushar & Abha 2020).
Kajian ini dijalankan hanya melibatkan lapan orang siswa pendidik IPG KPI yang
mengikuti Kursus Nahu Bahasa Arab II secara dalam talian sahaja dan tidak boleh
digeneralisasikan, namun banyak perkara yang boleh diambil perhatian oleh semua
pihak. Berdasarkan dapatan kajian ini, pengkaji mengemukakan beberapa cadangan
agar proses PdP secara dalam talian dapat disempurnakan dengan bijaksana
sepanjang Pandemik COVID-19:
i. Pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersesuaian dengan Pelan Transformasi
ICT 2019-2023 menyediakan kemudahan peralatan seperti komputer dengan
kelengkapan digital tools serta internet yang percuma dengan infrastruktur
rangkaian talian yang optimum dan menyeluruh kepada semua pelajar yang
berlatar belakang sosio ekonomi berpendapatan rendah.

