Page 63 - FOCUS 2020 TG4 KSSM BM
P. 63

Bahasa Malaysia
                   Bahasa Melayu  SPM   Bab 1 Karangan

                                          Fungsi Sekolah sebagai Agen Perpaduan
                                              Oleh: Mohamad Izwan Kassim

                  Sebagai sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum, Malaysia perlu memastikan
                semangat  muhibah,  tolak  ansur,  dan  perpaduan  sentiasa  tertanam  dalam  jiwa  setiap  rakyat.  Hal
         Bab     1
                ini  demikian  kerana, semangat  muhibah  dan perpaduan merupakan elemen  terpenting  dalam
                memastikan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara. Jika semangat perpaduan selalu
                diterapkan dalam jiwa seseorang, maka hasilnya akan lahirlah individu dan seterusnya masyarakat
                yang cinta akan perpaduan. Sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk menerapkan
                semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat kerana dunia persekolahan sangat
                luas dan memakan masa yang panjang.
                     Murid daripada tadika hingga universiti merupakan kelompok masyarakat yang besar. Oleh
                itu, amat wajar sekolah dijadikan tempat untuk menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan
                masyarakat. Apabila murid yang tamat sekolah berada dalam kelompok masyarakat setempat, maka
                mereka telah mempunyai asas untuk mengamalkan nilai perpaduan yang selama ini dipelajari di
                sekolah.
                     Dalam usaha memupuk perpaduan pada peringkat nasional, kerajaan negara kita telah
                membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan untuk rakyat. Melalui sistem ini, pengenalan
                sekolah mengikut kaum dikurangkan secara berperingkat. Sekolah rendah Cina dan Tamil yang
                pada mulanya diurus oleh pihak pentadbir sekolah masing-masing telah diambil alih oleh kerajaan
                agar corak pendidikan yang seragam dapat dijalankan. Usaha ini juga dapat menerapkan unsur
                perpaduan  dan  cinta  akan  negara,  misalnya  dengan  pengenalan  mata  pelajaran  Bahasa  Melayu
                kerana faktor bahasa merupakan penyumbang utama ke arah pemupukan perpaduan kaum.
                     Pengumpulan murid di sekolah yang sama pada peringkat menengah difikirkan agak lambat
                untuk menerapkan semangat perpaduan. Oleh itu, kerajaan telah memikirkan usaha supaya
                pemupukan semangat perpaduan dilakukan lebih awal lagi, bak kata pepatah, melentur buluh
                biarlah daripada rebungnya. Dengan mengambil pengajaran daripada pepatah ini, maka kerajaan
                berusaha untuk memupuk semangat perpaduan sejak kanak-kanak di sekolah tadika. Hal ini
                memandangkan  sebahagian  besar  ibu  bapa  menghantar  anak-anak  mereka  ke  sekolah  tadika
                sebelum memulakan persekolahan dalam tahun satu. Usaha memupuk perpaduan sejak di sekolah
                tadika telah dijalankan dengan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menubuhkan
                sekolah tadika perpaduan. Sekolah tadika perpaduan ditumpukan di kawasan taman perumahan
                yang dihuni oleh penduduk berbilang kaum.
                     Selepas merdeka, pembangunan perumahan dirancang dengan teliti agar tidak menunjukkan
                pengasingan  kaum yang ketara.  Situasi  ini  kemudiannya  membentuk  masyarakat  pelbagai kaum
                yang tinggal di sesuatu kawasan. Situasi ini menyediakan asas kepada pembentukan sekolah yang
                muridnya pelbagai kaum. Jika dalam kehidupan sehari-harian mereka sudah bercampur gaul,
                maka agak janggal jika di sekolah mereka diasingkan mengikut kaum.
                     Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan tiga sekolah rendah dalam satu kawasan
                merupakan usaha yang menjurus ke arah matlamat perpaduan kaum. Walaupun ketiga-tiga sekolah,
                iaitu sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, dan sekolah rendah jenis
                kebangsaan Tamil ditadbir secara berasingan, namun murid dapat berinteraksi sesama mereka
                dengan penggunaan padang permainan, kantin, dan tapak perhimpunan yang sama. Apabila selalu
                berinteraksi dengan murid-murid yang berlainan kaum sejak kecil, maka para murid akan terbiasa
                dengan suasana muhibah dan perpaduan. Seterusnya, apabila murid tersebut melangkah ke sekolah
                menengah, maka tidak timbul kejutan budaya dan pengasingan kumpulan dalam kelompok kaum
                masing-masing.



                 60






         01 Focus SPM BM.indd   60                                                                      12/6/19   4:38 PM
   58   59   60   61   62   63   64   65   66   67   68