Page 48 - 3D STUDIO MAX 6
P. 48
Objektif:
Selepas mengikuti unit ini murid dapat:
· Memahami konsep tekstur dan pemetaan (mapping)
· Mengetahui jenis-jenis pemetaan (mapping).
Sesuatu objek yang dibentuk tidaklah nampak realistik jikalau tidak diletakkan tekstur
yang bersesuaian dengan rupa bentuk yang dihasilkan. Misalnya jikalau model yang
dibentuk adalah sebuah meja yang dibuat daripada kayu, maka tekstur yang diletakkkan
padanya haruslah merupakan tekstur yang mewakili rupa kayu. Begitu juga dengan
objek-objek yang lain. Oleh yang demikian, kebanyakan aplikasi 3D menyediakan
tekstur-tekstur yang sesuai untuk diletakkan di atas permukaan objek-objek yang
dihasilkan.
Kita juga boleh mendapatkan tekstur-tekstur yang diperlukan untuk diletakkan kepada
model-model yang dibentuk daripada gambar-gambar foto atau corak-corak yang dibuat
dari aplikasi grafik lain seperti Photoshop atau Paintshop Pro.
Untuk mendapatkan tekstur yang betul dan menepati kehendak asal pembina model,
tekstur-tekstur ini perlulah diletakkan di atas permukaan model dengan mengikut
kesesuaian bentuk model tersebut. Kaedah meletakkan tekstur ke atas permukaan
objek dipanggil pemetaan tekstur atau Mapping. Terdapat beberapa jenis pemetaan
tekstur di antaranya ialah:
· Pemetaan sesatah ( Plannar Mapping)
· Pemetaan silinder (Cylindrical Mapping)
· Pemetaan kubik ( Box Mapping)
· Pemetaan sfera ( Spherical Mapping)
· Pemetaan permukaan (Face Mapping)
Pemetaan Sesatah (Plannar Mapping)
Pemetaan jenis ini digunakan untuk objek yang memiliki permukaan yang datar dan
lebar seperti permukaan meja, lantai, dinding dan sebagainya. Secara ringkasnya,
pemetaan jenis ini memetakan sesuatu corak ke atas sesuatu permukaan secara datar.

