Page 315 - e Prosiding Serai 2021
P. 315
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN OLEH GURU
SEKOLAH MENENGAH DI DAERAH TEMERLOH SEMASA PENULARAN PANDEMIK
COVID-19
1
1
Nurul Syuhada Mohd Bakri , Nor Azira Nordin dan Nurul Izati Hanifah 1
1 Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Damar, Lanchang,
syuhadabakri95@gmail.com,Azwa1234@yahoo.com.my,zati_ilmi@yahoo.com
ABSTRAK
Perubahan drastik sistem pendidikan daripada kaedah pembelajaran bersemuka secara
konvensional kepada pembelajaran dalam talian apabila wabak COVID-19 yang melanda
dunia pada akhir tahun 2019 menyebabkan semua institusi pendidikan daripada pendidikan
awal kanak-kanak sehingga ke institusi pengajian tinggi menjalani proses pembelajaran di
rumah secara mengejut. Dalam mendepani situasi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) telah menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) menerusi
alat-alat digital untuk meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
secara maya. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti kaedah pengajaran
dan pembelajaran dalam talian yang diaplikasikan oleh guru semasa penularan pandemik
COVID-19. Analisis kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif, melibatkan tiga orang guru
sekolah menengah di daerah Temerloh yang telah ditemu bual secara maya. Kajian tindakan
ini menggunakan instrumen temu bual yang telah diubahsuai dan analisis dokumen. Maklum
balas daripada kesemua responden telah di terjemah dan dianalisis secara bertema dan
seterusnya ditriangulasikan dengan analisis dokumen bagi mendapatkan keputusan kajian.
Dapatan kajian mendapati bahawa Kaedah Menggunakan Modul, Kaedah Berasaskan
Projek, Kaedah Pembelajaran Berasaskan Inkuiri dan Kaedah Pembelajaran Berasaskan
Masalah merupakan kaedah PdP dalam talian yang banyak digunakan oleh responden kajian.
Kajian ini lebih menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang
digunakan oleh guru bagi memastikan keberkesanannya terhadap prestasi akademik dan
maklum balas daripada pelajar sekolah. Sebagai kesimpulan, hasil dapatan kajian ini adalah
penting kepada KPM, para penyelidik dan guru-guru untuk meningkatkan lagi tahap
pendidikan pelajar sekolah menengah di Malaysia khususnya serta berjaya memperkasakan
PdP atas talian seiring dengan objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025.
Kata kunci: kaedah; pengajaran dan pembelajaran dalam talian; pandemik COVID-19.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 297

