Page 311 - e Prosiding Serai 2021
P. 311
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PERBINCANGAN
Dapatan kajian menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu
di sekolah Orang Asli berfokus kepada dua aspek iaitu cabaran secara dalaman dan cabaran
secara luaran. Cabaran peringkat dalaman adalah masalah penguasaan kemahiran
membaca, menulis dan mengira (3M), literasi Bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan
murid Orang Asli, masalah penguasaan bahasa ibunda dan masalah penggunaan Modul
KAP. Cabaran peringkat luaran pula terdiri daripada pengaruh persekitaran, pengaruh bahasa
ibunda dan perselisihan antara pemimpin setempat. Namun, di sebalik cabaran-cabaran ini
guru-guru Bahasa Melayu dan komuniti Orang Asli masih lagi mempunyai peluang dalam
memperkasakan Bahasa Melayu dalam kalangan murid Orang Asli. Pendekatan yang efektif
adalah pelaksanaan pengajaran Bahasa Melayu berasaskan budaya komuniti Orang Asli.
Pengajaran berasaskan budaya boleh dijelmakan dalam konteks penggunaan bahasa Semaq
Beri dan budaya masyarakat setempat dalam kalangan Orang Asli di Terengganu.
Pengajaran berasakan budaya dilaksanakan oleh Mohd Kamal & Ab. Rahman (2009) dan
berjaya meningkatkan pengetahuan murid Orang Asli dalam aspek membaca dan menulis
dengan menerapkan bahasa Semaq Beri dalam proses pengajaran guru. Hasil kajian terbukti
berjaya menarik minat murid Orang Asli mengikuti pengajaran Bahasa Melayu dan murid-
murid seronok dalam aktiviti membuat padanan kosa kata bahasa Melayu dengan kosa kata
Semaq Beri. Pendekatan pengajaran dalam kajian ini juga telah berjaya meningkatkan literasi
Bahasa Melayu dalam kalangan murid Orang Asli. Dapatan kajian Mohd Kamal &
Ab,Rahman (2009) juga selari dengan pandangan Norizan (2018), Mohd Nazri at al., (2019),
Ramle (1993) bahawa intelektual dan kecerdasan kanak-kanak Orang Asli berkait rapat
dengan budaya dan bahasa ibunda mereka.
Berasaskan Model Pembangunan Pendidikan GPILSEO (goals, pedagogy, institution,
leadership, spread, evidence) yang dibangunkan oleh Russell Bishop et al., (2010). Model
GPILSEO telah dibangunkan di 33 buah sekolah yang terdapat kaum Maori di New Zealand
pada tahun 2004-2008. Model GPILSEO menekankan kurikulum berasaskan budaya telah
mengubah landskap pendidikan kaum Maori. Model GPILSEO telah berjaya mengubah kaum
Maori lebih aktif dan cemerlang dalam pendidikan. Kejayaan Model GPILSEO terhadap kaum
Maori di New Zealand boleh diadaptasi sebagai model pembangunan pendidikan Orang Asli
di Malaysia khususnya bagi sekolah-sekolah Orang Asli di Terengganu.
RUMUSAN
Secara umumnya dapat dirumuskan bahawa pendekatan pengajaran yang lebih efektif perlu
diaplikasikan bagi mengatasi setiap cabaran yang wujud di sekolah Orang Asli. Guru adalah
golongan pelaksana yang dapat melonjakkan komuniti Orang Asli dalam arus pendidikan.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 293

