Page 587 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 587
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
KEBERKESANAN PROGRAM PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH TERHADAP
PENGUASAAN BAHASA MELAYU DAN PELIBATAN AKTIF MURID BERMASALAH
PEMBELAJARAN DALAM KURSUS DANDANAN RAMBUT
Hemarani A/P Munisamy 1
1 SMPK Vokasional Indahpura
hemarani@edidik.edu.my
ABSTRAK
Bidang Dandanan Rambut merupakan satu industri perkhidmatan yang semakin berkembang
di Malaysia yang berasaskan proses kerja sebenar yang meliputi kompetensi, teknikal,
pengetahuan, komunikasi dan sosial. Tahap penguasaan Bahasa Melayu dan pelibatan aktif
secara awal dalam bidang ini sangat diperlukan oleh majikan salun terhadap pekerja terutama
pekerja dari kalangan murid bermasalah pembelajaran. Bahasa Melayu digunakan sebagai
wahana komunikasi sebagai penayang pandangan sarwa (worldview) masyarakat serta
sebagai alat kreativiti modal insan dalam pelbagai bidang kemahiran. Kekurangan
pendedahan kosa kata terhadap industri sebenar menyukarkan MBP untuk mengaitkan
perkhidmatan yang ditawarkan serta penguasaan berkomunikasi yang rendah dalam Bahasa
Melayu menyebabkan MBP tidak berjaya kekal lama dengan pihak salun. Kajian ini dijalankan
untuk melihat keberkesanan pembelajaran luar bilik darjah terhadap penguasaan Bahasa
Melayu dan pelibatan aktif MBP dalam Kursus Dandanan Rambut. Sampel kajian ini terdiri
daripada sembilan orang MBP dari Kursus Dandanan Rambut di salah sebuah Sekolah
Menengah Pendidikan Khas Vokasional di Negeri Johor. Kajian ini menggunakan rekabentuk
kuasi eksperimental ujian pra dan ujian pasca satu kumpulan yang menjadikan sesi
pembelajaran luar bilik darjah sebagai intervensi setelah sesi pembelajaran secara tradisional
dijalankan. Kajian ini dijalankan secara kuantitatif dengan menggunakan instrumen borang
pemerhatian. Data borang pemerhatian penguasaan Bahasa Melayu dan pelibatan aktif
dianalisis secara deskriptif. Min bagi pemerhatian penguasaan Bahasa Melayu menunjukkan
peningkatan daripada 1.97 kepada 3.28 dan pelibatanaktif MBP daripada 1.89 kepada 3.69.
Kesimpulannya, kaedah pembelajaran luar bilik darjah boleh menjadi alternatif kaedah
pembelajaran yang berkesan kepada MBP untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai
bahasa komunikasi yang baik dalam Kursus Dandanan Rambut.
Kata kunci: pembelajaran luar bilik darjah, murid bermasalah pembelajaran, pelibatan aktif.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 566

