Page 86 - ICGE VII - ABSTRACT BOOK
P. 86
INTERNATIONAL CONFERENCE ON GLOBAL EDUCATION VIII
“Visioning the Future of Education”
KEBERKESANAN PDP PENGUTARAAN MASALAH MATEMATIK
DALAM MENJANA KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI
Norulbiah Ngah
(norulbiah@gmail.com)
Abstrak
Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan kemahiran yang ditekankan dalam
pedagogi matematik. Untuk menerapkan KBAT, pedagogi yang mantap dan terkini
amat diperlukan dan salah satu alternatif pedagogi yang berpotensi menyumbang
kepada peningkatan kemahiran berfikir pelajar ialah pengutaraan masalah matematik.
Sejajar dengan hal yang demikian, maka kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) pengutaraan masalah matematik
dalam menjana KBAT pelajar. Dalam kajian ini, reka bentuk kuasi eksperimen ujian
pra dan ujian pasca kumpulan kawalan tidak setara (non-equivalent control group
pretest-posttest design) digunakan. Saiz sampel dalam kajian ini ialah 94 orang pelajar
iaitu 51 orang mewakili kumpulan kawalan manakala 43 orang mewakili kumpulan
rawatan. Data kajian telah dianalisis untuk mendapatkan frekuensi, peratusan, min,
sisihan piawai dan hasil analisis ANCOVA. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
pengajaran dan pembelajaran pengutaraan masalah matematik memberikan kesan
positif yang signifikan dalam menjana kemahiran berfikir aras tinggi pelajar. Hasil
analisis ujian ANCOVA antara min markah ujian pasca kumpulan kawalan dan
rawatan mendapati wujud perbezaan yang signifikan (p = 0.000) di antara min markah
ujian pasca bagi kedua-dua kumpulan pada aras keertian α= 0.05. Kesimpulannya, PdP
pengutaraan masalah matematik berpotensi untuk dijalankan secara realistik bagi
menjana KBAT dalam kalangan pelajar.
Kata kunci: KBAT, Pengutaraan Masalah Matematik, Pendidikan Matematik.
84

