Page 104 - Kelestarian Inovasi dan Penyelidikan Kolej Komuniti Sik
P. 104
dalam pertandingan keusahawanan iaitu SME 90 Days Business Challenge, dan Program KPT-
Teraju Superb Higher Education League. Semasa program ini berlangsung, pelajar-pelajar telah
mempertandingkan inovasi produk makanan masing-masing serta perancangan perniagaan
kepada juri di samping penjualan produk pada pameran yang dijalankan. Penyertaan pelajar
dalam aktiviti dan pertandingan yang dijalankan meningkatkan minat serta keyakinan diri
mereka menyebabkan timbul perasaan ingin berdikari dan mendorong mereka untuk memilih
kerjaya keusahawan selepas tamat pengajian. Ini membuktikan bahawa graduan yang telah
mendapat latihan semasa di kolej atau memiliki kemahiran keusahawanan lebih berkeyakinan
untuk menceburi bidang keusahawanan (Krueger dan Brazeal, 1994).
5.0 Rumusan dan Cadangan
Semangat ingin berdikari dan waktu bekerja yang fleksibel merupakan faktor luaran
yang menjadi faktor utama yang menyebabkan graduan Kolej Komuniti Sik cenderung untuk
memilih kerjaya keusahawanan setelah tamat pengajian. Ini diikuti oleh faktor dalaman iaitu
minat terhadap bidang keusahawanan yang disemai melalui program keusahawanan yang
dihadiri di kolej komuniti yang merupakan latihan dan galakan kepada pelajar untuk memilih
dan memulakan kerjaya dalam bidang keusahawanan selepas bergraduat.
Cadangan agar penglibatan pelajar dalam program, latihan dan pertandingan
keusahawanan diteruskan di peringkat kolej kerana usaha ini dilihat mampu meningkatkan
minat serta keyakinan diri pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan setelah bergraduasi.
Peruntukan kewangan bagi pembudayaan keusahawanan serta program yang melibatkan
kursus masing-masing boleh ditambah seiring dengan program yang akan dilaksanakan bagi
menggalakkan penyertaan lebih ramai pelajar di masa akan datang. Peningkatan graduan
yang menceburi bidang keusahawanan akan mengurangkan jumlah graduan menganggur
setelah tamat pengajian selari dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM
2015-2025 yang pertama untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan
seimbang demi melahirkan anak muda yang mampu menghadapi masa hadapan yang semakin
mencabar serta menukar persepsi daripada mencari pekerjaan kepada mewujudkan peluang
pekerjaan di masa hadapan. Ini juga turut mencapai KPI 4 untuk menambahbaik ekosistem
keusahawanan dengan penetapan 4% graduan yang menceburi bidang keusahawanan bagi
setiap politeknik dan kolej komuniti dalam tempoh 6 hingga 12 bulan selepas menamatkan
pengajian.
102

