Page 42 - malaysia_2017
P. 42
RINGKASAN LAPORAN PROGRAM
PENCAPAIAN DAN PERISTIWA PENTING NEGARA
TRANSFORMASI KERAJAAN (GTP) 2016
GTP yang merangkumi tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terus
kekal sebagai instrumen yang penting bagi mencapai matlamat sosioekonomi
sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 kelak. Sejak dilaksanakan pada
tahun 2010, GTP melalui tempoh paling mencabar pada tahun 2014 iaitu tahun
kedua, fasa kedua 2013-2016. Namun, atas semangat bersatu hati semua
peringkat mendepani segala kesukaran dalam satu pasukan maka kita terus
melangkah maju ke hadapan untuk membina negara Malaysia yang selamat,
makmur dan saksama.
NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar
Matlamat kerajaan untuk mewujudkan sistem Pengangkutan Awam Bandar
bertaraf dunia dengan kemudahan dan kecekapan yang dipertingkatkan seperti
berikut:
• Tinjauan Kepuasan Pelanggan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) 2016 telah dijalankan oleh Ipsos. Tinjauan itu menunjukkan kepuasan
pelanggan secara keseluruhan terhadap pengangkutan awam telah meningkat
kepada 84 peratus pada tahun 2016 daripada 74 peratus pada tahun 2015,
terutamanya disebabkan oleh Projek Peluasan LRT.
• Projek Sambungan Laluan LRT (LEP) yang siap telah dilancarkan sebagaimana
yang dijadualkan pada bulan Julai 2016, menghubungkan Kelana Jaya dan
Sri Petaling ke Putra Heights. Sebanyak 23 stesen baharu dan 35km trek
rel baharu telah ditambah antara stesen Kelana Jaya dengan Sri Petaling,
sekaligus memperluas Laluan Kelana Jaya kepada 46.4km dan Laluan Ampang
kepada 44.7km.
• Fasa pertama laluan MRT 1 Lembah Klang dari Sungai Buloh ke Semantan
telah mula beroperasi pada 16 Disember 2016.
• Pada 19 Oktober 2016 KTM telah melancarkan sistem Kutipan Tambang
Automatik KTM (AFC).
• Sistem baharu ini mampu merakam statistik perjalanan dan data akan
memberikan KTMB perspektif yang berharga mengenai trend dan corak
penumpang.
• Tahun 2016 menandakan tahun pertama operasi bagi Bas Rapid Transit
(BRT) Laluan Sunway yang memberikan perkhidmatan kepada 500,000
penduduk bandar Sunway dan Subang Jaya, dan menghubungkan mereka
ke KTM Komuter dan perkhidmatan LRT. Laluan sepanjang 5.4km ini melalui
tujuh stesen, merekodkan pemberian perkhidmatan kepada hampir 6,000
penumpang setiap hari, 50 peratus lebih ramai daripada tahun sebelumnya.
• Dari segi inisiatif menarik pengguna, lebih banyak kemudahan park ‘n ride
telah dibina di lokasi-lokasi strategik di seluruh rangkaian rel Greater KL/KV,
dengan jumlah sasaran 7,000 tempat letak kereta menjelang 2020. Tahun
2016 menyaksikan sebanyak 1,547 ruang letak kereta baharu di kemudahan
park ‘n ride di Taman Paramount, Taman Jaya, Taman Bahagia, UKM dan Nilai.
42 MALAYSIA
2017

