Page 110 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 110
membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dihasratkan dalam
kurikulum (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016).
Menurut Marsh (2007), pelaksanaan kurikulum oleh seseorang guru merujuk kepada
cara guru menterjemahkan kandungan kurikulum yang tersebut. Dalam usaha merealisasikan
hasrat kurikulum, guru memainkan peranan penting dan harus mempunyai pemahaman yang
jelas tentang perubahan dalam sesuatu kurikulum supaya dapat menyampaikan perkara yang
sewajarnya kepada murid-murid. Kejayaan dalam pelaksanaan bergantung pelaksanaan guru
seperti yang dihasratkan oleh kurikulum kebangsaan (Marsh, 2007). Maka, Guru-guru Bahasa
Tamil harus peka terhadap perubahan kurikulum dalam mata pelajaran Bahasa Tamil dan
meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang kandungan kurikulum baru ini supaya
pengajaran menjurus kepada objektif yang dinyatakan dalam kurikulum Bahasa Tamil.
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah untuk melihat pemahaman dan kebolehan guru menterjemahkan
DSKP KSSR (Semakan 2017) Bahasa Tamil SJKT Tahun 3 dan DSKP KSSR (Semakan 2017)
Bahasa Tamil SK Tahun 3 dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Secara
khususnya objektif kajian ini menjawab persoalan kajian seperti berikut:
i. Sejauhmanakah pemahaman guru terhadap kandungan DSKP?
ii. Sejauhmanakah kebolehan guru menterjemahkan standard pembelajaran dalam proses
pengajaran dan pembelajaran (PdP)?
iii. Sejauhmanakah keberkesanan pelaksanaan aspek-aspek yang terkandung dalam
kurikulum Bahasa Tamil?
iv. Sejauhmanakah kebolehan guru melaksanakan pentaksiran bilik darjah (PBD)?
TINJAUAN LITERATUR
Pengetahuan dan pemahaman guru untuk melaksanakan sesebuah kurikulum baru adalah amat
penting bagi menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu kurikulum yang diperkenalkan
(Kang & Lim, 2015). Pemahaman guru yang jelas tentang kandungan kurikulum dapat
membantu mereka melaksanakannya dengan berkesan seperti yang dihasratkan oleh kurikulum
kebangsaan (Rosmah dan Mariani, 2014). Namun demikian, dapatan kajian Maxwell (2010)
menunjukkan bahawa guru-guru sering menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya dari segi
pengetahuan tentang kurikulum mata pelajaran dan kemahiran pedagogi apabila kurikulum
baru diperkenalkan. Guru-guru mengambil masa yang panjang untuk memahami kandungan
kurikulum dan tidak dapat menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Solis (2009) juga menekankan bahawa penguasaan pengetahuan kandungan serta pemahaman
guru adalah sangat penting kerana ia akan mempengaruhi pembelajaran murid di dalam kelas.
Chantaranima dan Yuenyong (2014) telah menjalankan satu kajian untuk mengkaji
elemen pengetahuan kandungan dan pedagogi guru pakar Fizik di sebuah sekolah di Thailand.
Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan reka bentuk kajian kes. Data kajian diperolehi
melalui temubual dan pemerhatian. Hasil dapatan kajian menunjukkan pengetahuan dan
pemahaman guru tentang kandungan dan pedagogi membolehkan murid meningkatkan
pemahaman terhadap mata pelajaran sains. Kepelbagaian aktiviti yang dijalankan oleh guru
sewaktu pengajaran dan pembelajaran dapat mengekalkan minat belajar murid. Ini
menunjukkan guru tersebut mempunyai pengetahuan dan pemahaman tentang kandungan mata
pelajaran sains yang harus disampaikan kepada murid. Maka pengajaran guru berfokus kepada
apa yang dinyatakan dalam kurikulum sains tersebut.
100

