Page 111 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 111

Shing, Saat, & Loke (2015) turut menyatakan bahawa adalah penting seseorang guru
               mempunyai pengetahuan dan pemahaman tentang kandungan mata pelajaran yang diajar serta
               pengetahuan pedagogi  yang baik agar membolehkan mereka melaksanakan pengajaran dan
               pembelajaran yang berkualiti dan berkesan di dalam bilik darjah. Kenyataan ini adalah selari
               dengan kajian yang dijalankan oleh Masingan & Shari (2019) yang melibatkan dua orang guru
               yang mengajar mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di sekolah menengah. Hasil
               kajian menunjukkan kefahaman  guru tentang kandungan mata pelajaran  yang kurang jelas
               menyebabkan mereka gagal menerapkan pendekatan pengajaran yang dicadangkan dalam mata
               pelajaran RBT KSSM. Malah kedua-dua guru dalam kajian ini lebih menjalankan pengajaran
               yang  berpusatkan  guru  dan  menggunakan  teknik  penerangan.  Pendekatan  pengajaran  ini
               menyebabkan  penglibatan  murid  tidak  begitu  aktif  sepanjang  proses  pengajaran  dan
               pembelajaran. Ini menunjukkan kefahaman guru yang kurang jelas tentang kandungan mata
               pelajaran menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran serta tidak dapat mencapai hasrat
               kurikulum mata pelajaran RBT.
                       Kebolehan  mengajar  dan  pengetahuan  seseorang  guru  dalam  menyampaikan  isi
               kandungan mata pelajaran adalah sentiasa saling berkait rapat. Jika guru kurang memahami
               perkara yang hendak mengajar maka guru tidak mampu menyampaikan isi kandungan dengan
               jelas. Menurut Mustafa (2004), salah satu kelemahan guru bahasa Inggeris adalah guru tidak
               mempunyai  pengetahuan dan kepakaran dalam  ilmu  itu sendiri.  Ini  disokong oleh dapatan
               kajian  Danisman  dan  Tanisli  (2017)  yang  mendapati  bahawa  kemampuan  guru  untuk
               mengembangkan  konsep  atau  isi  pengajaran  terbatas  disebabkan  masalah  guru  tidak
               memahami dan menguasai isi kandungan topik yang diajar.
                       Berdasarkan dapatan kajian di atas, dapat dirumuskan bahawa guru yang mempunyai
               pengetahuan dan pemahaman yang jelas tentang kandungan mata pelajaran yang diajar dapat
               menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dalam bilik darjah. Mereka
               dapat menyampaikan apa yang dihasratkan oleh kurikulum mata pelajaran yang diajar kepada
               murid.  Mereka  juga  berupaya  merancang  dan  menjalankan  aktiviti  pengajaran  dan
               pembelajaran mengikut kebolehan murid.

                                               METODOLOGI KAJIAN

               Menurut Creswell (2014), reka bentuk kajian ialah prosedur atau kaedah dalam penyelidikan
               kuantitatif atau kualitatif yang mana pengkaji menjalankan satu kajian terhadap sampel atau
               keseluruhan  populasi.  Dalam  kajian  ini,  reka  bentuk  kajian  ini  berbentuk  kualitatif  yang
               menggunakan  kaedah  temu  bual  dan  pemerhatian.  Kajian  ini  menggunakan  kaedah
               persampelan bertujuan (purposive sampling) dalam menentukan responden yang bersesuaian
               di mana pemilihan responden dilakukan berdasarkan objektif kajian yang ditetapkan. (Yin,
               2011;  Berg,  2009;  Merriam,  1998).  Kaedah  ini  digunakan  untuk  mengenal  pasti  tahap
               pengetahuan, pemahaman dan kesediaan guru dalam menterjemahkan DSKP Bahasa Tamil
               dalam aktiviti PdP. Sampel kajian ini dijalankan di 13 buah sekolah iaitu 7 buah Sekolah Jenis
               Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 6 buah Sekolah Kebangsaan (SK) di negeri Selangor, Wilayah
               Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. Sekolah-sekolah yang terlibat ini
               adalah terdiri daripada sekolah harian biasa di kawasan bandar dan luar bandar. Kajian ini
               melibatkan 20 orang guru iaitu 12 orang guru di SJKT dan 8 orang guru di SK. Responden
               yang terlibat terdiri daripada guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Tamil Tahun 3.
               Keterangan lanjut mengenai responden kajian seperti dalam Jadual 1 dan 2.




                                                           101
   106   107   108   109   110   111   112   113   114   115   116