Page 113 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 113
Penyelidik menjadi intrumen utama untuk pengumpulan dan analisis data. Berdasarkan
Merriam (2009), pengkaji merupakan alat utama sesebuah penyelidikan yang berbentuk
kualitatif kerana pengkaji berperanan dalam meneroka pengalaman peserta kajian berdasarkan
kaedah temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Proses temu bual dan pemerhatian
dilakukan berpandukan satu garis panduan mengikut kehendak kajian. Di samping itu, borang
maklumat demografi digunakan untuk memperolehi maklumat berkaitan jantina, opsyen,
kelayakan akademik dan pengalaman mengajar.
Data dari temu bual dan pemerhatian dianalisis melalui proses pengekodan. Pengkaji
mengesan dan membina tema melalui objektif kajian iaitu mencari kata kunci yang terhasil
daripada data yang diperolehi semasa temu bual dan pemerhatian. Menurut Chua (2006)
kadeah analisis data bergantung kepada jenis data yang dikumpulkan dan kehendak kajian
maka, dalam kajian ini. Kaedah Analisis Perbincangan telah digunakan untuk menganalisis
data yang diperolehi daripada hasil kajian. Kaedah ini dilakukan dengan menggunakan
pengkaji-pengkaji yang terlibat dalam kajian ini. Melalui perbincangan bersama, pengkaji-
pengkaji mengenal pasti cara melaporkan hasil kajian.
DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian ini memberi fokus kepada empat aspek iaitu pemahaman terhadap kandungan
DSKP, kebolehan menterjemahkan standard pembelajaran dalam aktiviti PdP,
kebolehlaksanaan aspek-aspek yang terkandung dalam DSKP dan kebolehlaksanaan PBD bagi
menjawab persoalan kajian yang ditentukan berdasarkan objektif yang ditetapkan. Kefahaman
dan kebolehan responden dalam menterjemahkan standard pembelajaran yang dinyatakan
dalam DSKP KSSR (Semakan 2017) Bahasa Tamil SJKT Tahun 3 dan DSKP KSSR (Semakan
2017) Bahasa Tamil SK Tahun 3 sewaktu menjalankan aktiviti PdP di bilik darjah dapat
dikenal pasti melalui empat aspek tersebut.
Pemahaman Guru Terhadap Kandungan DSKP
Berdasarkan analisis data temu bual dan pemerhatian didapati seramai 11 orang responden
mempunyai pemahaman yang jelas tentang kandungan DSKP Bahasa Tamil. Mereka berupaya
menerangkan aspek-aspek yang terkandung dalam DSKP. Perancangan sesi PdP adalah jelas
dan teratur. Responden-responden ini juga berupaya merancang aktiviti PdP yang menjurus
kepada standard pembelajaran. Dapatan menunjukkan bahawa ada di antara responden ini
pernah mengikuti LDP berkaitan tentang DSKP Bahasa Tamil Tahun 3 di peringkat sekolah
dan yang lain telah menerima pendedahan tentang DSKP Bahasa Tamil Tahun 3 melalui kursus
orientasi yang dianjurkan oleh PPD di peringkat daerah ataupun dianjurkan oleh JPN di
peringkat negeri. Maka, mereka mendapat pendedahan tentang DSKP.
..... DSKP adalah satu garis panduan untuk kami, ada perkara baru dimasukkan dalam
KSSR Semakan kali ini...mmm..seperti profil murid, EMK sebanyak10, ada strategi PdP,
ada standard prestasi, standard pembelajaran yang baru....ya pernah mengikuti LDP di
sekolah...(G3)
.....ketua panitia kami telah beri penerangan tentang DSKP Bahasa Tamil. Kami sudah
ada buat LDP mengenai DSKP ini. Semua guru telah menghadiri LDP ini... (G4)
.....saya selalu rujuk DSKP. Saya sentiasa bawa DSKP ini bersama Fail Rekod Harian
saya. Kami di sekolah ini perlu failkan DSKP di dalam fail kami...Saya ada menghadiri
kursus orientasi yang dianjurkan oleh PPD. Saya juga sharekan maklumat tersebut
dalam mesyuarat panita Bahasa Tamil... (G5)
103

