Page 90 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 90
PERBINCANGAN
Dapatan kajian menunjukkan bahawa penguasaan guru-guru terhadap kandungan perincian
pemetaan pendidikan sivik berada pada tahap sederhana. Penguasaan kandungan guru bagi
sesuatu mata pelajaran boleh diperoleh menerusi latihan formal dan faktor pengalaman.
(Mulholland & Wallace, 2001). Oleh itu memandangkan pelaksanaan pendidikan sivik dalam
mata pelajaran baru sahaja diperkenalkan mulai Jun 2019, maka guru-guru memerlukan
bimbingan dan tempoh masa untuk benar-benar menguasai setiap perincian pemetaan
pendidikan sivik.
Guru yang memiliki pengetahuan kandungan yang tinggi lebih menekankan konsep,
penyelesaian masalah dan aspek inkuiri dalam mata pelajarannya. Bagi guru yang kurang
penguasaan pengetahuan kandungan pula akan lebih menekankan fakta, peraturan, prosedur
dan terlalu terikat dengan rancangan pengajaran serta buku teks. Seperti yang sedia maklum,
pelaksanaan pendidikan sivik dalam kurikulum memerlukan guru menghasilkan modul
exemplar. Justeru itu, penguasaan kandungan perincian sivik oleh guru amat penting dalam
menghasilkan modul exemplar yang dapat membimbing murid menguasai pengetahuan sivik,
sosioemosi dan tindakan sivik.
Seterusnya pengetahuan pedagogi yang diteroka dalam kajian ini pula adalah berkaitan
dengan pendekatan dan teknik pengajaran penyepaduan pendidikan sivik dalam mata
pelajaran. Terdapat pendekatan pembelajaran abad ke-21 yang dicadangkan merangkumi
elemen-elemen asas termasuk kreatif, kritis, kolaboratif dan komunikasi. Hasil kajian
menunjukkan bahawa pengetahuan pedagogi guru yang terlibat dalam menyepadukan
pendidikan sivik berada pada tahap sederhana. Dapatan ini memberikan gambaran pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran (PdP) pendidikan sivik dalam mata pelajaran merupakan satu
cabaran kepada guru. Hal ini demikian, guru perlu menekankan aspek pengetahuan, sosioemosi
dan tindakan sivik serta menggunakan pelbagai kaedah PdP bagi memastikan pendidikan sivik
dilaksanakan dengan berkesan.
Guru yang menguasai pengetahuan pedagogi akan dapat mewujudkan persekitaran
pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Pengetahuan pedagogi yang dimiliki oleh
seseorang guru dapat digunakan untuk menarik perhatian murid agar lebih fokus kepada
kandungan mata pelajaran yang disampaikan. Hal ini dibuktikan melalui kajian lepas yang
menyatakan bahawa minat murid terhadap sesuatu mata pelajaran berkait rapat dengan
pengajaran guru (Rohaan et al., 2012). Pengajaran guru yang kurang menarik dan tidak
bermakna akan menyebabkan murid tidak meminati sesuatu mata pelajaran berkenaan.
Begitu juga dengan dapatan kajian ini yang menunjukkan bahawa pentaksiran guru
berada pada tahap sederhana. Keberkesanan elemen pentaksiran banyak bergantung kepada
guru memandangkan guru ialah pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya. Justeru itu,
guru perlu lebih kreatif dalam melaksanakan pentaksiran bagi menguji keupayaan dan
kebolehan murid menguasai sesuatu kemahiran (Dana, 2015; Suzuk & Feral, 2012). Usaha ini
perlu dilakukan secara berterusan bagi melihat dengan jelas perkembangan pembelajaran
murid. Disamping itu, guru juga perlu mempelbagaikan cara atau pendekatan dalam menilai
penguasaan literasi sivik dan pembelajaran murid secara adil agar penilaian yang telus dan
tepat dapat diberikan.
Sementara itu, berdasarkan kajian ini didapati bahawa ketiga-tiga aspek iaitu
penguasaan pengetahuan kandungan, pedagogi dan pentaksiran mempunyai hubungan dengan
kesediaan guru untuk melaksanakan pendidikan sivik dalam mata pelajaran. Kejayaan dan
pencapaian matlamat pelaksanaan pendidikan sivik amat bergantung kepada kesediaan guru
sebagai agen penyampai ilmu di sekolah. Guru adalah golongan yang amat penting bagi
menentukan kejayaan atau kegagalan kepada kurikulum baharu yang diperkenalkan. Justeru
itu, guru adalah pihak yang sewajarnya untuk menerima sesuatu pembaharuan kurikulum
80

