Page 104 - JURNAL PENYELIDIKAN ILMU PENDIDIKAN 2021
P. 104
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 6 / 2 0 2 1 | 96
PENDAHULUAN
Persekitaran global yang semakin mencabar dan kompetitif ketika ini telah menjadikan
inovasi serta keupayaan untuk berinovasi menjadi penentu penting bagi mana-mana
individu, kumpulan, masyarakat, organisasi atau negara sekali pun untuk kekal seiring
dengan peredaran dan perubahan semasa (Serdyukov, 2017). Untuk mengelakkan
daripada dipintas dan terus tertinggal dek peredaran arus semasa, manusia tidak kira
dalam apa jua peringkat sama ada individu atau organisasi harus sentiasa berinovasi.
Inovasi yang secara lazimnya diertikan sebagai perubahan, pembaharuan,
penambahbaikan dan penciptaan peluang dilihat begitu penting untuk kelangsungan
hidup, kejayaan, perkembangan, dan kecemerlangan bagi menuju ke arah yang lebih
baik. Menyedari akan kepentingan inovasi, majoriti negara di dunia jika tidak semua
ketika ini telah mula melihat inovasi sebagai suatu keutamaan dalam aspek
pertumbuhan dan pembangunan negara masing-masing.
Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga turut dilihat
memberi penekanan terhadap inovasi dalam bidang pendidikan. Menyedari hakikat
kepentingan inovasi dalam sektor pendidikan, pelbagai inisiatif dan program telah
diperkenalkan KPM bagi tujuan peningkatan serta pembudayaan inovasi dalam
kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, KPM menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (2013-2025) misalnya telah berusaha bagi mentransformasikan
sistem pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap elemen kreativiti dan
inovasi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Dengan kerjasama Agensi Inovasi
Malaysia (AIM), KPM misalnya turut telah memperkenalkan Program i-Think pada
tahun 2013 dengan tujuan untuk melahirkan para pencipta generasi masa depan
Malaysia yang hebat dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif
dan inovatif. Selain itu, bagi menggalakkan pembudayaan inovasi dalam kalangan
guru pula, KPM dilihat sentiasa memperkenalkan program-program yang berkaitan
dengan elemen inovasi. Salah satu contoh program tahunan yang telah diadakan
untuk menggalakkan pembudayaan dan penghasilan inovasi dalam kalangan guru
sejak sekian lama adalah Pertandingan Kreativiti dan Inovasi (CIC) (Maszlee, 2019).
Jika dilihat daripada perspektif yang luas, penekanan dan keutamaan yang diberikan
KPM terhadap elemen inovasi ini sebenarnya telah menjawab tentang kepentingan
inovasi dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Dalam dunia penyelidikan, tingkah laku yang menjurus atau menyokong
inovasi ini merupakan satu konsep yang popular serta banyak dibincangkan dalam
badan literatur. Tingkah laku ini mempunyai istilah yang khusus iaitu dikenali sebagai
Tingkah Laku Inovatif atau Tingkah Laku Kerja Inovatif. Secara ringkasnya, tingkah
laku inovatif ini merupakan satu kelompok kelakuan yang terdiri daripada beberapa
siri aktiviti kelakuan berbeza yang terarah kepada penghasilan inovasi iaitu meneroka
peluang, menjana idea, mempromosi idea, dan merealisasi idea (De Jong & Den
Hartog 2008; Messmann & Mulder 2012). Secara khususnya, tingkah laku inovatif ini
ditakrifkan sebagai perilaku dan tindakan individu secara sengaja yang terarah

