Page 21 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 21

JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
              JILID 6/2021




               semasa mengelolakan pentaksiran murid. Walau bagaimanapun, kekurangan
               kefahaman guru terhadap konsep pentaksiran secara formatif yang disarankan
               dalam PBD  telah menyebabkan pelaksanaan pentaksiran kurang berkesan (Siti
               Hayati & Lee, 2018). Menurut Siti Hauzimah (2019), masih ada guru-guru keliru
               dan belum bersedia dalam pelaksanaan  PBD  yang perlu dilakukan secara
               berterusan. Pengetahuan dan kemahiran dalam pembinaan instrumen yang
               diperoleh  dalam kursus tidak memberi kesan kepada guru apabila didapati
               kurang cekap dan tidak dapat mengukur tahap kebolehan murid sebenar (Lee &
               Mohd Zahuri, 2018).

               Kajian  juga  mendapati  guru  kekurangan  pengetahuan  dalam  pentaksiran
               terutamanya penggunaan rubrik  dalam penilaian seni (Amsami et al., 2015).
               Maka guru seharusnya menggunakan rubrik dan Dokumen Standard Kurikulum
               dan Pentaksiran (DSKP) sebagai panduan utama untuk mentaksir dan mengukur
               penguasaan murid. Kajian Abdul Said & Gobalakrishman (2017) telah
               menunjukkan bahawa guru masih belum memahami sepenuhnya dengan jelas
               tentang DSKP untuk melaksanakan PBD. Situasi ini juga menyebabkan guru
               tidak dapat membina rubrik dan menggunakan kaedah pentaksiran yang sah,
               boleh dipercayai dan saksama. Kejayaan pelaksanaan pentaksiran amat
               bergantung kepada penyelarasan standard melalui rubrik dalam pelaksanaan
               portfolio. Namun, guru Pendidikan Seni Visual (PSV) telah menghadapi masalah
               tiada pendedahan khusus tentang penyediaan rubrik penilaian portfolio (Graham,
               2019).

               Dapatan  kajian  Graham  (2019),  juga menunjukkan bahawa pentaksiran yang
               dilakukan atas pencapaian murid adalah lebih memfokuskan kepada produk seni
               akhir sahaja, tetapi kurang mementingkan proses penghasilan karya seni.
               Kesannya,  perubahan  berlaku  apabila fokus pembelajaran  PSV  lebih
               mementingkan keputusan pencapaian, iaitu produk seni (Dorn et al., 2004).
               Proses pembelajaran seni melibatkan tingkah laku dan nilai afektif murid seperti
               kesungguhan, ketelitian dan motivasi terhadap pembelajaran turut difokuskan
               dalam pentaksiran PSV. Namun, isu berlaku apabila objektif pembelajaran yang
               ditetapkan terlalu akademik, maka terjadilah proses dan pembelajaran secara
               holistik yang dipentingkan dalam pembelajaran  PSV  telah diabaikan (Gude,
               2012).


               OBJEKTIF KAJIAN

               Berikut adalah dua objektif utama yang difokus untuk meneroka penggunaan
               instrumen PBD dalam PSV sekolah rendah.

               1.  Mengenal pasti instrumen PBD yang digunakan oleh guru PSV Tahun 4 di
                   SJK(C).



                                                                                    16
   16   17   18   19   20   21   22   23   24   25   26