Page 51 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 51
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
Dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa guru matematik gemar
menggunakan kaedah latih tubi dalam pengajaran matematik. Kaedah ini
merupakan suatu amalan kaedah yang baik dipraktikkan dalam pembelajaran
matematik. Murid dapat menguasai kandungan dan kemahiran matematik
melalui latihan yang berulangan. Ulangan latihan berterusan boleh
memperkukuh dan mengekalkan kandungan pelajaran dalam stor ingatan jangka
panjang. Situasi ini berlaku kerana Gagne (1985), telah menyatakan bahawa isi
pelajaran dapat disimpan dalam jangka masa yang lebih lama jika pembelajaran
menggunakan kaedah latih tubi. Maka, amalan ini sesuai untuk murid
ketidakupayaan pendengaran kerana mereka selalu lupa akan isi kandungan
pelajaran matematik. Sementara itu, guru telah melaksanakan kaedah hafalan
pada tahap tinggi dalam pembelajaran matematik tetapi kaedah ini kurang
berkesan kerana murid tidak faham konsep kandungan pelajaran misalnya sifir.
Oleh itu, kaedah latih tubi adalah lebih sesuai dipraktikkan berbanding dengan
kaedah hafalan dalam pembelajaran matematik murid ketidakupayaan
pendengaran.
Selain itu, hasil kajian menunjukkan kaedah bercerita dan main peranan agak
sukar dilaksanakan dalam pengajaran matematik murid ketidakupayaan
pendengaran. Sebab utama ialah guru masih belum menguasai bahasa isyarat
dengan mantap. Guru tidak dapat menyampaikan kandungan pelajaran secara
efektif jika tidak menguasai bahasa isyarat. Kajian Liong (2019), mendapati guru
tidak dibekalkan buku rujukan bahasa isyarat yang mencukupi. Kod isyarat juga
tidak dikemas kini mengikut istilah dalam kurikulum matematik. Pihak Bahagian
Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia wajar mengambil tindakan
segera untuk mengatasi masalah ini.
Hasil kajian juga mendapati guru telah mengubah suai pendekatan, strategi dan
kaedah pengajaran dalam pengajaran matematik pada tahap tinggi. Guru
memahami pengubahsuaian ini perlu dilakukan mengikut kebolehan murid
kerana terdapat perbezaan individu dari segi tahap perkembangan kognitif,
keupayaan pembelajaran dan masalah lain. Kajian lepas telah menunjukkan
bahawa murid ketidakupayaan pendengaran juga mempunyai masalah lain
seperti masalah penglihatan dan hiperaktif (Spencer & Marschark, 2010).
Pengubahsuaian kaedah pengajaran itu adalah dibenarkan kerana ia juga
termaktub dalam Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013
Perkara 8(1)(c) (Jabatan Peguam Negara, 2013). Justeru, pengubahsuaian
pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran mengikut keupayaan pembelajaran
murid adalah sesuai dilaksanakan dalam pengajaran matematik.
Guru harus menguasai pengetahuan kandungan dan pedagogi matematik. Kajian
Szymanski et al. (2013), menyatakan bahawa pengetahuan guru dalam
kurikulum dan pelaksanaan pengajaran merupakan faktor halangan kepada murid
ketidakupayaan pendengaran untuk berjaya dalam pencapaian matematik.
Kurangnya penguasaan guru dalam DSKP, pendekatan, strategi dan kaedah bagi
46

