Page 52 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 52
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
pengajaran setiap tajuk yang terkandung dalam kurikulum matematik boleh
menjejas tahap penerimaan kandungan isi pelajaran murid. Maka dapatan kajian
ini telah menunjukkan bahawa guru telah melaksanakan pengajaran matematik
dengan efektif kerana mereka mempunyai pengetahuan kandungan dan pedagogi
matematik bagi setiap tajuk pada tahap tinggi untuk membantu murid
memperoleh pencapaian matematik yang lebih baik. Walau bagaimanapun,
pilihan pedagogi perlu mengambil kira jenis masalah, keperluan khas dan
keupayaan pembelajaran murid.
Dalam kajian ini, guru telah menggunakan salah satu media pengajaran iaitu
papan putih dan pen maker pada tahap yang tinggi. Hutkemri (2009),
menyatakan penggunaan papan putih dan pen maker merupakan media
pengajaran konvensional. Pengajaran konvensional ini boleh membosankan
murid untuk mengikuti pelajaran, murid kurang aktif, guru bertindak sebagai
penyampai ilmu statik sehinggakan pelibatan dan interaksi murid dengan guru
telah menjadi terhad (Effandi, 2005). Kajian-kajian lepas juga telah
menunjukkan kebanyakan guru pendidikan khas selalu mengamalkan kaedah
konvensional dalam PdP matematik murid ketidakupayaan pendengaran (Liong,
2019; Spencer & Marschark, 2010). Kajian Liong dan Mohd. Hanafi (2016) turut
mendapati kaedah pengajaran konvensional kurang mendorong kepada
pembelajaran matematik secara efektif. Maka, kaedah pengajaran konvensional
harus dikurangkan dalam pengajaran matematik.
Selain itu, hasil kajian mendapati guru menggunakan komputer untuk
melaksanakan pengajaran matematik pada tahap sederhana. Walaupun guru
mengetahui manfaat penggunaan komputer dalam pengajaran, akan tetapi
mereka kurang melaksanakan kerana faktor kekurangan alat sokongan digital
seperti LCD dan komputer, masalah rangkaian internet serta jarak jauh antara
bilik darjah dengan bilik komputer yang menjejas pelaksanaan PdP dalam
tempoh masa kelas yang ditetapkan. Kajian-kajian lepas telah mendapati
pengajaran berbantukan komputer adalah lebih efektif terutamanya golongan
murid ketidakupayaan pendengaran (Chong & Shaffe 2016; Low, 2014).
Pengajaran berbantukan komputer harus dipertingkatkan kerana ia adalah
menarik dengan ilustrasi visual dan sesuai dengan deria pengamatan visual murid
ketidakupayaan pendengaran. Ini kerana pengamatan visual murid
ketidakupayaan pendengaran adalah lebih tajam berbanding dengan deria lain
(Marschark & Hauser, 2012).
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, guru telah mempunyai pengetahuan kandungan dan
pedagogi pengajaran matematik yang tinggi melalui pelbagai pendekatan,
strategi dan kaedah yang sesuai dengan keperluan ciri-ciri pembelajaran murid
ketidakupayaan pendengaran dengan sokongan pelbagai media pengajaran.
47

