Page 61 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 61
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
yang tepat dan aras kesukaran yang sejajar dengan hasrat kurikulum (Azizi,
2011). Ujian ditadbir menggunakan pelbagai jenis alat pentaksiran seperti
pentaksiran formatif atau sumatif, pelbagai jenis ujian (objektif, subjektif, Ujian
Rujukan Norma atau Ujian Rujukan Kriteria) dan pentaksiran autentik. Data
yang diperolehi dari ujian perlu dianalisis dan diinterpretasi untuk memberikan
gambaran yang lebih jelas tentang pencapaian murid dan untuk memastikan item
tersebut berkualiti serta menilai murid dengan adil. Bagi menganalisis item dan
menginterpretasi data ujian dan membuat kesimpulan mengenai ujian berkenaan,
pengunaan statistik asas diperlukan. Ini termasuklah penggunaan jadual
kekerapan, skor terkumpul, perwakilan graf, ukuran kecenderungan memusat
(min, mod, median), sisihan piawai dan skor piawai. Indeks kesukaran dan
indeks diskriminasi pula digunakan bagi menentukan sama ada item soalan
tersebut sesuai atau sebaliknya. Data pentaksiran yang telah dianalisis dan
diinterpretasi boleh dilaporkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
PERNYATAAN MASALAH
Malaysia berhadapan situasi pandemik COVID-19 sejak awal tahun 2020. Sistem
pendidikan kebangsaan terkesan berikutan analisis data kes positif, kontak rapat
dan kuarantin dalam kalangan murid, guru serta warga sekolah semakin
meningkat. Oleh itu, KPM mengambil beberapa inisiatif awal di mana semua
sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup. KPM menyediakan Manual
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Inisiatif ini bertepatan dengan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menetapkan
setiap murid perlu mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi
diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan yang baik. Murid berhak
mendapat peluang mengikuti pendidikan walaupun tidak dapat hadir ke sekolah
seperti biasa. Guru bukan sahaja perlu merancang dan mengaplikasikan
pelaksanaan PdP melalui pembelajaran di rumah, malah perlu meneroka dan
merancang pentaksiran alternatif untuk menggantikan peperiksaan serta ujian
bertulis secara bersemuka. Pentaksiran secara formatif dan sumatif dapat terus
dilaksanakan kepada murid. Pentaksiran alternatif (PA) dapat memastikan
kesinambungan pembelajaran berkualiti sepanjang murid melalui PdPR.
Pelaksanaan PA membolehkan guru memantau perkembangan pembelajaran
murid, menjalankan pentaksiran dan memperbaiki mutu pembelajaran murid
biarpun sekolah terpaksa ditutup semasa berlakunya pandemik COVID-19.
Terdapat keperluan bagi guru untuk menggabungkan kaedah PA dalam PdP
supaya guru boleh menilai kebolehan murid dengan berkesan secara berterusan.
Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, timbul beberapa isu dan cabaran yang
berlaku dalam bidang pendidikan di antaranya keberkesanan perlaksanaan PdPR,
keberkesanan pengajaran guru secara dalam talian, pengajaran luar talian,
bebanan kerja guru bertambah dan lain-lain isu yang berkaitan.
56

