Page 35 - MODUL SEM 2 2021 (2)_Neat
P. 35
Modul Sejarah STPM
Semester 2 /2021
peperangan dengan tujuan untuk menyebarkan dakwah Islam. Namun, peperangan
ialah jalan terakhir untuk penyebaran Islam. Sebelum tentera Islam melancarkan
peperangan golongan kafir hendaklah diseru kepada Islam terlebih dahulu atau berdamai sebelum
memeranginya. Sebagai contoh, pada zaman Khalifah Abu Bakar sewaktu menggempur wilayah Hirah,
beliau telah memberikan tiga pilihan kepada musuh Islam, iaitu menganut Islam, berdamai, ataupun
berperang. Ini membuktikan peperangan bukanlah pilihan utama sebaliknya Islam terlebih dahulu
menawarkan perdamaian.
● Jelas, etika yang diterapkan sebelum perang membuktikan Islam mementingkan perdamaian.
2. Etika Semasa Perang
● Apabila peperangan terpaksa diteruskan, Islam turut menetapkan etika semasa peperangan kepada tentera
Islam. Tentera Islam tidak boleh memerangi kafir yang tidak memiliki kekuatan dan daya usaha seperti
kanak-kanak, kaum wanita, orang cacat, lumpuh, paderi, ataupun pendeta. Tentera Islam dilarang
merosakkan harta benda, memotong pokok atau memusnahkan tanaman, membakar rumah kecuali dalam
keadaan darurat. Keadaan ini membuktikan bahawa Islam mementingkan kesejahteraan. Islam juga
menetapkan etika peperangan kepada tentera Islam agar tidak lagi memerangi musuh yang sudah
menyerah, kafir Zimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada
pemerintah Islam. Islam juga melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh antaranya tidak
boleh mencencang mayat atau musuh yang terbunuh. Dalam peperangan, Islam membenarkan tentera
melakukan helah peperangan kerana perbuatan ini termasuk dalam strategi peperangan. Nabi Muhammad
SAW sendiri turut mengajar umat baginda agar patuh kepada ketua dan tidak boleh meninggalkan medan
peperangan melainkan dengan keizinan ketua.
● Situasi ini jelas menunjukkan Islam mengutamakan perdamaian meskipun terpaksa melancarkan
peperangan namun, masih menghormati pihak musuh dengan tidak membunuh sesuka hati.
3. Etika Selepas Perang
● Selepas peperangan berakhir, Islam menggariskan beberapa etika yang perlu dipatuhi dalam gerakan
ketenteraan Islam. Antaranya, sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajiblah ditaati. Sebagai contoh,
dalam Perjanjian Hudaibiyah, meskipun fasa-fasa dalam perjanjian itu seolah-olah memberikan kelebihan
kepada musuh Islam, namun Nabi Muhammad SAW mempunyai misi tersendiri dan sentiasa menepati janji
untuk tidak melanggar perjanjian tersebut. Tentera Islam juga dilarang menyeksa atau membunuh tawanan
perang sewenang-wenangnya. Tawanan perang yang tidak dikenakan hukuman bunuh akan dilayan
dengan baik. Islam melarang penyeksaan terhadap tawanan perang samaada tawanan lelaki mahupun
tawanan wanita. Tindakan ini merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajarkan oleh Nabi
Muhammad SAW. Buktinya, dalam perang Badar, baginda menggunakan kaedah diplomasi, iaitu tawanan
perang harus menebus diri mereka dengan ilmu pengetahuan atau dengan sejumlah wang tertentu. Cara
pengagihan harta rampasan perang pula dilakukan secara adil mengikut ketetapan Allah SWT dalam al-
Quran. Harta-harta yang diperoleh dalam peperangan bukan menjadi milik Nabi Muhammad SAW
sebaliknya diagihkan secara sama rata dalam kalangan para pejuang.
● Semua keadaan ini jelas membuktikan etika yang diterapkan dalam gerakan ketenteraan Islam adalah
mementingkan perdamaian.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, dalam mempertahankan agama Islam, negara dan maruah diri yang diancam, Islam
membenarkan peperangan. Namun terdapat etika-etika tertentu yang perlu dipatuhi oleh tentera Islam dalam
gerakan ketenteraan tersebut. Etika-etika yang diterapkan ini jelas membuktikan Islam mementingkan
perdamaian dan peperangan adalah pilihan terakhir.
36

