Page 72 - FOCUS 2020 TG4 KSSM BM
P. 72
Bahasa Malaysia
Bahasa Melayu SPM Bab 1 Karangan
Karangan Cemerlang
Semasa cuti sekolah yang lalu, anda telah berkunjung ke sebuah pusat pameran buku yang diadakan Bab 1
di tempat anda. Gambarkan suasana dan sambutan orang ramai di tempat pameran tersebut. Panjang
karangan anda hendaklah lebih daripada 350 patah perkataan.
Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berkunjung ke sebuah pusat pameran buku yang
julung-julung kali diadakan di bandar Tangkak. Pameran tersebut telah diadakan di sebuah
tapak yang bakal dijadikan taman perumahan di pinggir bandar tersebut. Tema pameran tersebut
ialah “Jadikan Membaca Amalan Hidup Kita”. Tema tersebut bersesuaian dengan kempen bulan
membaca peringkat kebangsaan yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan pada minggu
sebelum itu. Ramai orang mengunjungi pameran tersebut. Saya datang bersama-sama tiga orang
rakan dengan menunggang basikal sahaja memandangkan tapak pameran tersebut hanya kira-kira
tiga kilometer dari rumah kami.
Kawasan tapak pameran itu sungguh luas. Banyak gerai yang didirikan. Gerai yang mula-
mula kami kunjungi ialah gerai Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu gerai induk dan sekali
gus penganjur pameran tersebut. Gerai tersebut sebenarnya tidak menjual sebarang buku. Namun,
di gerai tersebut banyak terdapat gambar dan risalah tentang perkembangan pendidikan dalam
dan luar negara seperti carta tentang kajian membaca dalam kalangan masyarakat seluruh dunia.
Negara Jepun menunjukkan bilangan pembaca yang paling ramai.
Ramai juga ibu bapa yang datang dengan membawa anak-anak mereka. Pameran ini memberikan
peluang kepada ibu bapa yang tidak berkesempatan untuk membawa anak-anak mengunjungi kedai-
kedai buku bagi mendapatkan buku dengan harga yang rendah. Tambahan pula, gerai-gerai buku tersebut
memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk memilih pelbagai buku yang sesuai bukan sahaja untuk anak-
anak, malahan kepada mereka juga. Pada pendapat saya, ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar
dalam memupuk minat membaca dalam kalangan anak mereka. Ibu bapa juga perlu memperuntukkan
sebahagian daripada perbelanjaan keluarga mereka untuk membeli buku-buku yang berfaedah sebagai
bahan bacaan anak-anak dan keluarga mereka. Sekali-sekala eloklah ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke kedai buku atau pameran sebegini supaya anak-anak dapat memilih buku yang disukai oleh
mereka. Minat membaca perlu ditanam sejak anak-anak kecil agar menjadi budaya dalam kehidupan.
Oleh itu, apabila mereka meningkat remaja, mereka tidak berasa kekok untuk membaca buku di tempat
terbuka seperti perhentian bas.
Antara gerai yang menarik hati saya di pameran itu ialah sebuah gerai yang berkonsepkan
perpustakaan di rumah. Selain itu, terdapat juga gambar-gambar perpustakaan mini yang dapat
disesuaikan dengan rumah atau pejabat. Pameran itu memberikan kesedaran kepada saya tentang
pentingnya mewujudkan perpustakaan di rumah dan panduan mewujudkannya. Dengan pameran
seperti ini, para pengunjung digalakkan supaya mengadakan sudut bacaan dan mengamalkan
pembelian sebuah buku sebulan yang sesuai mengikut kemampuan mereka untuk mengisi sudut
bacaan di rumah mereka dan seterusnya membaca bahan-bahan tersebut.
Terdapat sebuah bas panjang yang diletakkan di pusat pameran tersebut. Mulanya saya dan
rakan-rakan berasa pelik akan kewujudan bas itu di tengah-tengah pusat pameran. Rupa-rupanya
bas tersebut bas perpustakaan bergerak. Kami turut masuk ke dalam bas tersebut. Di dalam
bas tersebut, terdapat seakan-akan sebuah bilik yang dilengkapi pelbagai buku. Perpustakaan
tersebut membuka keahliannya kepada penduduk dan murid. Kami turut menjadi ahli dengan
bayaran pendaftaran sebanyak RM1. Hal ini demikian kerana, kami diberitahu bahawa selepas ini,
perpustakaan bergerak akan datang ke kampung-kampung pada hari minggu bagi memudahkan
penduduk di luar bandar meminjam buku.
69
01 Focus SPM BM.indd 69 12/6/19 4:38 PM

