Page 10 - KEGUNAAN POKOK HERBA_Neat
P. 10
BANGUN-BANGUN
Nama saintifik : Solenostemon amboinicus,
plectranthus amboinicus, coleus amboinicus
Nama lain : Ati-ati Hijau , Bebangun, Raja bangun,
Tumbuh daun , sedingin, setawar padang,
kerencung, mangun-mangun.
Nama tempatan : Bangun-Bangun
Famili : Labiatae
Bangun-bangun, bebangun, pokok ubat batuk, raja bangun, hati-hati hijau atau
sedingin ataupun nama saintifiknya Plectranthus amboinicus / Coeus amboinicus
merupakan sejenis herba wangi dan boleh dimakan. Ia selalunya dimakan sebagai
ulam dan juga digunakan sebagai ubat tradisional. Pucuk muda bangun-bangun segar
dimakan dengan cecahan seperti sambal belacan, budu, cencaluk atau lain-lain
pencecah. Rasanya manis, lemak sedikit pedas serta berangin.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Renek herba sederhana boleh tumbuh setinggi 1.2m. Batang berair, bersegi empat,
berwarna hijau ketika muda dan bertukar hijau keperangan setelah matang. Daun
tunggal, bersaiz sederhana besar, berbentuk bujur dengan hujung meruncing, lebar
di bahagian bawah, tepi bergerigi sederhana besar, tebal, bertangkai sederhana
panjang, tersusun bersetentangan dan mempunyai aroma yang kuat menyerupai bau
jintan hitam. Bunga majmuk, kecil, putih, terdapat dalam jambak bunga yang keluar
dari hujung dahan. Pokok bangun-bangun mudah ditanam dengan batang atau biji
benihnya. Ia tahan lasak dan kurang perosak dan penyakit menyerangnya.
Bahagian Yang Digunakan
Daun
Amalan Tradisi Perawatan
Bangun-bangun mengandungi air, gula, karbohidrat, serat, mineral, vitamin, alkoloid,
musilaj (lendir), polifenol, saponin, glikosida flavonol, vitamin C, vitamin B1, vitamin
B2, beta karotin, niasin, karvakrol, kalsium, lemak, protein, dan minyak volatil. Ia
dimakan bagi melancarkan pengaliran darah yang tidak lancar, merawat sembelit,
asma, haid bermasalah, kencing bernanah, sakit kepala (migrain), sakit perut, batuk,
pelbagai penyakit kulit, gastrik dan buasir. Ia juga dimakan bagi meningkatkan selera
makan, daya imunisasi badan, kesan awet muda dan mendapatkan kesan
antioksidan.

