Page 85 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 85

JURNAL PENDIDIKAN TINGKATAN ENAM 2019 JILID 3

            Perincian di atas menunjukkan bahawa jika pelajar gagal mengemukakan huraian pro dan
            kontra bagi setiap fakta (contoh - lima fakta), maka pelajar akan kehilangan sejumlah 10
            markah untuk satu soalan tunggal. Jika pelajar gagal mengemukan huraian pro dan kontra
            bagi tiga set soalan tunggal, pelajar akan kehilangan 30 markah dan pelajar berisiko tinggi
            untuk gagal dalam peperiksaan.


            Sepanjang kajian ini guru telah menyedari bahawa kajian tindakan penting untuk
            mengeluarkan diri daripada kongkongan amalan rutin dan meningkatkan amalan
            professional khususnya dalam menguji diri sendiri dan mengembangkan idea baru
            tentang amalan tersebut.  Oleh itu, guru akan mempunyai hak milik (ownership) dalam
            memperkenalkan amalan-amalan yang efektif.


            Guru mengajar subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif di kelas PU2R yang terdapat 16
            orang pelajar berumur antara 18 hingga 19 tahun yang terdiri dari empat (4) orang pelajar
            lelaki dan 12 orang pelajar perempuan. Guru sentiasa mewujudkan hubungan baik dan
            mesra dengan pelajar bagi memudahkan pelajar menerima isi PdPc yang disampaikan.
            Hubungan baik antara guru dan pelajar memudahkan guru mengenali latar belakang setiap
            pelajar yang sememangnya berbeza.


            Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan
            individu daripada norma kumpulannya sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal, moral,
            tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek yang lain mungkin terdapat sesama individu
            dalam sesuatu kumpulan. Oleh itu, guru harus memahami perkara ini dalam kalangan
            pelajar kerana perkara ini boleh mempengaruhi pembelajaran di dalam kelas.

            Banks (2015) pula menyatakan bahawa latar belakang pelajar yang berbeza, menjadi
            salah satu  halangan  kepada  pelajar untuk  memenuhi  keperluan  untuk  memahami isi
            pelajaran yang diajar di dalam kelas. Berpandukan dari latar belakang pendidikan terdahulu
            pelajar di peringkat SPM di mana daripada seramai 16 orang pelajar yang mengambil
            subejk  Kesusasteraan  Melayu  Komunikatif,  hanya  dua  orang  pelajar  yang  mengambil
            subjek Kesusasteraan Melayu semasa SPM. Faktor ini menyebabkan pelajar tidak boleh
            menguasai  sepenuhnya  subjek Kesusasteraan Melayu  Komunikatif.  Rata-rata  pelajar
            merungut bahawa teknik menjawab soalan esei Kesusasteraan Melayu Komunikatif amat
            sukar kerana memerlukan penghujahan fakta yang tepat dan matang serta memerlukan
            kemahiran berfikir yang kreatif dan kritis. Sedangkan di peringkat SPM mereka hanya perlu
            mengemukakan fakta dan menghuraikan contoh. Oleh itu, guru perlu mencari satu kaedah
            PdPc berkesan yang boleh membantu pelajar untuk mempunyai kefahaman yang jelas
            tentang teknik menjawab bagi mengatasi masalah pelajar yang tidak boleh menguasai
            sepenuhnya kemahiran menjawab soalan esei Kesusasteraan Melayu Komunikatif.






       84    Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
   80   81   82   83   84   85   86   87   88   89   90