Page 86 - Jurnal Pendidikan Tingkatan Enam 2019 - Jilid 3
P. 86
Perubahan Paradigma Pemikiran Ke Arah Pendidikan Berkualiti
2.0 FOKUS KAJIAN
Kajian berfokuskan kepada penggunaan “TEKMEN SPROKON” ke arah meningkatkan
kemahiran menjawab soalan esei berbentuk perbincangan sekali gus meningkatkan prestasi
pencapaian pelajar dalam peperiksaan STPM. Kajian ini membantu pelajar Kesusasteraan
Melayu Komunikatif STPM membina jawapan yang tepat, dengan mengemukakan fakta
yang tepat, penghujahan huraian yang matang, contoh yang relevan, dan kesimpulan
idea yang jelas dengan menggunakan kaedah “TEKMEN SPROKON”. Ini kerana soalan
“Bincangkan” merupakan soalan paling popular dalam Kesusasteraan Melayu Komunikatif
STPM pada setiap semester. Pemberatan markah sebanyak 25 markah bagi setiap soalan
dan pelajar wajib menjawab tiga soalan esei dalam tempoh masa dua (2) jam. Kelemahan
penguasaan kemahiran menjawab diperoleh berpandukan tinjauan awal yang telah
dijalankan melalui semakan buku latihan dan ujian pra. Sebahagian besar pelajar tidak
dapat menjawab soalan secara lisan yang diajukan dan lebih menyedihkan apabila pelajar
gagal mengemukakan huraian fakta yang berbentuk penghujahan, iaitu huraian pro dan
kontra bagi fakta yang diberikan. Hal ini menyebabkan pelajar hilang 10 hingga 30 markah
daripada 75 markah keseluruhan. Oleh itu guru perlu mencari cara penyelesaian masalah
ini bagi membantu memaksimumkan kefahaman dan keupayaan pelajar untuk menguasai
kemahiran menjawab soalan esei “Bincangkan” agar memperoleh markah yang baik dalam
peperiksaan STPM.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Tujuan utama kajian ini adalah untuk membantu pelajar menguasai kemahiran menjawab
soalan esei dalam subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) STPM. Objektif kajian
ini terbahagi kepada dua, iaitu;
3.1 Objektif Umum
Pelajar dapat menyatakan huraian pro dan kontra yang tepat bagi fakta yang dikemukakan
dalam soalan peperiksaan Kesusasteraan Melayu Komunikatif STPM.
3.2 Objektif Khusus
3.2.1 Pelajar dapat menguasai kemahiran menjawab soalan berbentuk perbincangan;
3.2.2 Pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 12 markah daripada 16 markah (soalan
pecahan) dan 20 markah daripada 25 markah (soalan tunggal).
3.2.3 Prestasi pelajar dalam peperiksaan awam meningkat.
Kementerian Pendidikan Malaysia 85

