Page 55 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 55
Kesalahan Mekanis Dalam Penulisan Bahasa Melayu Murid Tahun Lima
Di Sekolah Kebangsaan Taman Melati: Satu Kajian Kes
Nur Faiqah Nasuha binti Muhd Zafrullah, Azman bin Rahmat, Ph.D
IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
nurfaiqahnasuha@gmail.com
Abstrak
Kajian ini mengkaji jenis dan kekerapan kesalahan mekanis dalam penulisan bahasa Melayu murid Tahun 5 di Sekolah
Kebangsaan Taman Melati, di samping mengkaji sejauh manakah faktor sikap murid semasa sesi pembelajaran
kemahiran menulis mempengaruhi kesalahan mekanis dalam penulisan bahasa Melayu mereka. Reka bentuk kajian
ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes. Instrumen kajian ini menggunakan triangulasi
data, dengan menggunakan kaedah analisis dokumen, kaedah temu bual dan kaedah pemerhatian terhadap murid.
Responden kajian ini terdiri daripada 5 orang murid Tahun 5 dan 2 orang guru dari Sekolah Kebangsaan Taman Melati.
Kajian ini mendapati bahawa murid kerap melakukan kesalahan mekanis dalam penulisan karangan mereka, sama
ada kerana kecuaian atau kurangnya ilmu pengetahuan dalam kemahiran menulis. Kajian ini juga mendapati bahawa
faktor-faktor sikap murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis seperti faktor penglibatan diri,
faktor kefokusan, faktor ilmu pengetahuan di dalam kelas dan faktor kesediaan murid memberi kesan kepada kesalahan
mekanis yang dilakukan oleh mereka Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa murid yang mempunyai sikap yang
positif di dalam kelas akan menguasai penggunaan aspek mekanis dalam penulisan bahasa Melayu dengan baik. Kajian
ini dapat mengisi kelompangan penyelidikan berkaitan analisis kesalahan mekanis dan hubungan antara sikap dengan
prestasi murid di dalam sesebuah aspek yang tertentu. Oleh sebab itu, guru-guru dan pihak berkepentingan yang lain
disarankan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melaksanakan sesi pengajaran kemahiran menulis yang
lebih menarik supaya murid dapat menunjukkan sikap yang positif di dalam kelas. Bagi pihak murid pula, mereka perlu
sentiasa mencontohi sikap yang positif dalam usaha untuk meningkatkan tahap prestasi mereka, terutamanya dalam
aspek mekanis bagi kemahiran menulis bahasa Melayu.
Kata kunci: kesalahan mekanis, kajian kes, kemahiran menulis, triangulasi data
---------- +++++ ----------
7
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 53

