Page 56 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 56
Analisis Tahap Pencapaian Penulisan Karangan Bahasa Melayu
Murid Bukan Penutur Jati Berpandukan Modul Terancang
1 Norfaizah Abdul Jobar, Abdul Rasid Jamian, Erni Marlina Saari,
2
3
4 Mazlin M. Mokhtar, Noor Zuhidayah Muhd Zulkifli
5
1,2,4,5 Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI
3 Fakulti Seni, Komputer dan Industri Kreatif UPSI
norfaizah.aj@fbk.upsi.edu.my
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk menganalisis pencapaian murid dalam pembinaan isi karangan sebelum dan selepas murid
didedahkan dengan modul terancang dan menganalisis keberkesanan aplikasi modul terancang dalam penulisan
karangan. Sebanyak tiga buah sekolah, di negeri Perak terlibat dalam kajian ini dengan jumlah murid seramai 60 orang.
Instrumen yang digunakan untuk mendapatkan data ialah dengan menganalisis penulisan karangan murid dan borang
soal selidik. Praujian dan pascaujian dijalankan untuk mengenal pasti perbezaan dalam pencapaian murid sebelum dan
selepas modul terancang diterapkan. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi menggunakan perisian Statistical
Package for the Social Science v25. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam
pencapaian binaan isi penulisan karangan murid sebelum dan selepas pengajaran dan pembelajaran modul ini
diperkenalkan. Skor min bagi ujian pra dan ujian pasca meningkat sebanyak 5.650. Selain itu, hipotesis kajian diterima
kerana terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian penulisan karangan murid. Di samping itu juga, dapatan
soal selidik menunjukkan murid seronok mengaplikasikan modul ini dalam penulisan mereka. Secara keseluruhannya,
semua sampel kajian berjaya menunjukkan peningkatan yang positif selepas modul terancang diperkenalkan dan
diharapkan modul ini dapat membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam pembinaan isi karangan untuk
menghasilkan karangan yang lebih koheren dan berkualiti.
Kata kunci: modul terancang, penulisan karangan, isi
---------- +++++ ----------
Amalan Penggunaan Modul Permainan Peribahasa ADDIE Terhadap Kemahiran
Mengarang Bahasa Melayu Murid Sekolah Kebangsaan Di Negeri Selangor
Suradi Bin Hassan
Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia
aidiesuradi82@yahoo.com
Abstrak
Amalan penggunaan Modul Permainan Peribahasa ADDIE agak janggal kedengaran di Malaysia. Kebanyakan kajian
lepas memfokuskan kepada permainan bahasa menggunakan kad imbasan dan permainan digital. Penyelidikan seperti
ini belum dieksplorasi sepenuhnya sebagai sebuah inovasi pendidikan bahasa lantaran terdapat kekangan usaha
penghasilan modul sedemikian. Justeru, penyelidik telah mencipta Modul Permainan Peribahasa menggunakan model
ADDIE. Model ADDIE dapat diaplikasi untuk menyediakan modul yang berkesan kerana proses penambahbaikan
berterusan berasaskan maklum balas pada peringkat proses pembentukan. Objektif kajian ini untuk meningkatkan
ketepatan penggunaan peribahasa terhadap kemahiran mengarang bahasa Melayu. Keterbatasan murid menggunakan
peribahasa dalam karangan menyebabkan aspek seni bahasa dalam penulisan kian pudar. Kaedah kuasi eksperimen
satu kumpulan rawatan, iaitu praujian dan pascaujian telah dijalankan terhadap 35 orang murid Tahun Lima di sebuah
Sekolah Kebangsaan di negeri Selangor. Kumpulan rawatan ini menerima 12 sesi rawatan dalam tempoh masa sebulan.
Dapatan kajian menunjukkan terdapat perubahan positif terhadap pencapaian murid dalam kemahiran mengarang.
Amalan penggunaan modul ini terbukti dapat meningkatkan kepelbagaian penggunaan peribahasa dalam struktur ayat
yang dibina. Murid juga dapat menggarap keindahan seni bahasa yang lebih gramatis. Oleh itu, Modul Permainan
Peribahasa ADDIE ini amat membantu murid untuk lebih menguasai keintelektualan peribahasa bukan sahaja ketika
mengarang karangan malahan dapat digunakan dalam pertuturan seharian.
Kata kunci: Amalan Penggunaan, Modul Permainan Peribahasa, Model ADDIE, Kemahiran Mengarang, Peribahasa
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 55

