Page 58 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 58
Pengintegrasian Komponen Pengetahuan Teknologi
Pedagogi Kandungan dan Kemahiran Inventif
Dalam Kalangan Guru Bahasa Melayu
1 Ezwafahmey bin Ahmad Kusaini, Zamri bin Mahamod,
2
3 Wan Muna Ruzanna binti Wan Mohammad
1 SMK Tun Syed Zahiruddin
2,3 Universiti Kebangsaan Malaysia
ezafrin86@gmail.com
Abstrak
Fokus perbincangan dalam kertas kerja ini menjurus kepada komponen Pengetahuan Teknologi Pedagogi Kandungan
(PTPK) dan elemen Kemahiran Inventif (KI) yang perlu dikuasai oleh setiap guru Bahasa Melayu di Malaysia. PTPK
merujuk kepada komponen pengetahuan guru yang berkaitan dengan pengintegrasian teknologi, pedagogi dan isi
kandungan, manakala KI pula merujuk kepada salah satu elemen yang penting dalam Kemahiran Abad ke-21. Guru
Bahasa Melayu perlu cakna dengan setiap perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara agar selari dengan
kehendak semasa. Sehubungan itu, kajian tinjauan ini dijalankan bertujuan untuk menganalisis pengaruh komponen
PTPK terhadap KI guru Bahasa Melayu. Sampel kajian terdiri daripada 400 orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di
sekolah menengah kebangsaan di Malaysia yang telah dipilih dengan menggunakan teknik pensampelan secara rawak
berstrata. Kajian ini menggunakan analisis Partial Least Squares-Structural Equation Modeling (PLS-SEM) dengan
bantuan perisian SmartPLS 3.0. Dapatan kajian secara keseluruhannya membuktikan bahawa komponen PTPK berupaya
bertindak sebagai pemboleh ubah peramal yang penting kepada KI guru Bahasa Melayu. Hal ini dapat memberikan
gambaran yang sangat jelas dan berguna kepada semua guru Bahasa Melayu di Malaysia untuk mengambil langkah
yang proaktif bagi memastikan mereka mampu untuk menguasai dengan lebih mendalam komponen PTPK dan KI ini.
Kata kunci: pengetahuan teknologi pedagogi kandungan, kemahiran inventif, guru bahasa Melayu, sekolah menengah
---------- +++++ ----------
Kesan Pembelajaran Masteri Terhadap Penguasaan
Kemahiran Membaca Bahasa Melayu Murid Tahun Satu
Tewo Lei Jie
Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kulai Besar
eijie.ipgkbm@gmail.com
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk menguji kesan pembelajaran masteri terhadap penguasaan kemahiran membaca bahasa
Melayu murid Tahun 1 di sekolah rendah. Pengkaji telah menggunakan reka bentuk kajian kuantitatif dan kaedah kuasi
eksperimen Sampel kajian ini melibatkan 66 orang murid Tahun 1 di sebuah sekolah rendah. 33 orang sampel murid
kelas 1A dipilih sebagai kumpulan kawalan manakala 33 orang sampel murid kelas 1B dipilih sebagai kumpulan rawatan.
Ujian lisan kemahiran membaca telah digunakan sebagai instrumen ujian pra dan pasca dalam kajian ini. Dapatan
analisis menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan bagi pencapaian penguasaan kemahiran membaca
murid kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan dalam ujian pasca (z=-5.755, p=0.00). Dapatan menunjukkan nilai
min ujian pasca kumpulan rawatan (μ=5) adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan (μ=3). Dapatan ini
membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran masteri berupaya meningkatkan penguasaan kemahiran membaca
murid kumpulan rawatan. Oleh itu, kajian ini memberi implikasi kepada guru bahawa pembelajaran masteri lebih berkesan
untuk membantu murid menguasai kemahiran membaca dan meningkatkan penguasaan mereka dalam kemahiran ini
berbanding dengan pendekatan konvensional.
Kata kunci: pendekatan pembelajaran masteri, kemahiran membaca, kuasi eksperimen, bahasa Melayu
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 57

