Page 62 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 62

Amalan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Guru
                            Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah

                                Sarah Anis Ilyani Binti Azmi, Mohd Haidi Bin Mohd Kasran, Ph.D

                                  IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
                                            sarah09-827@epembelajaran.edu.my



                                                         Abstrak

        Kajian ini dijalankan bertujuan meninjau tahap amalan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) guru
        dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah dan sikap serta keinginan
        guru terhadap amalan penggunaan TMK seperti tahap penggunaan dan pengetahuan guru terhadap 19 buah aplikasi
        TMK. Reka bentuk kajian ini ialah kaedah penyelidikan tinjauan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif. Instrumen
        soal selidik yang digunakan terdiri daripada 47 item dan sampel kajian ini melibatkan 44 orang guru bahasa Melayu
        di sepuluh buah sekolah Zon Pantai Remis, Beruas, Perak. Data mentah yang terkumpul dianalisis menggunakan
        statistik deskriptif dan statistik inferensi secara manual dalam perisian  Statistical Package for the Social Sciences
        (SPSS) V22. Dapatan menunjukkan bahawa amalan penggunaan TMK guru berada pada tahap sederhana manakala
        sikap guru-guru terhadap amalan TMK adalah positif dan guru menerima penggunaan TMK dengan baik sekali. Ini
        membuktikan bahawa guru-guru sangat berminat untuk mendalami aplikasi dalam TMK. Namun demikian, terdapat
        beberapa kekangan yang mempengaruhi tahap penggunaannya dalam sesi PdP mereka. Justeru, guru disarankan agar
        cuba mengatasi kekangan tersebut supaya TMK dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti profesionalisme guru
        sekali gus meningkatkan prestasi murid. Sikap merupakan antara aspek yang mempunyai hubungan signifikan dengan
        tahap penggunaan sebenar sesuatu sistem yang ada.

        Kata kunci: Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bahasa Melayu


                                                  ---------- +++++ ----------

                                  Penguasaan Kata Sendi Nama Dalam Ayat Murid Tahun 4

                                                             2
                                    1 Hanis Wahidah binti Shuib,  Azman bin Rahmat, Ph.D
                                  IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
                                              haniswahidahshuib@gmail.com


                                                         Abstrak

        Penguasaan kata sendi nama dapat mempengaruhi kemahiran berbahasa murid. Penguasaan kata sendi nama yang
        lemah akan menyebabkan seseorang tidak dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan sempurna. Malahan kajian
        juga menunjukkan  tahap  penguasaan kata sendi nama  yang  lemah juga akan menyebabkan seseorang  pengguna
        bahasa itu melakukan kesalahan tatabahasa dalam ayat. Kajian bagi mengkaji penguasaan kata sendi nama dalam ayat
        lebih banyak dikaji kepada pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah. Walau bagaimanapun, didapati masih kurang
        kajian dilaksanakan bagi mengkaji penguasaan kata sendi nama dalam kalangan murid sekolah rendah. Sehubungan
        dengan itu, kajian ini bertujuan meninjau penguasaan kata sendi nama dalam ayat murid Tahun 4. Reka bentuk kajian ini
        menggunakan pendekatan gabungan dan kaedah tinjauan. Sampel bagi kajian ini terdiri daripada 32 orang sampel yang
        merupakan murid Tahun 4 di salah sebuah sekolah di sekitar Kuala Lumpur. Dapatan penyelidikan diperoleh daripada
        ujian penguasaan kata sendi nama, temu bual dan senarai semak hasil kerja murid. Dapatan kajian menunjukkan
        bahawa tahap penguasaan kata sendi nama bahasa Melayu dalam kalangan murid Tahun 4 pada tahap memuaskan.
        Hasil kajian ini membuktikan bahawa murid belum menguasai kata sendi nama dengan baik. Perkara ini akan memberi
        kesan negatif sekiranya tidak segera ditambah baik. Oleh itu, dapatan kajian ini membolehkan guru membuat aktiviti
        intervensi bagi meningkatkan tahap penguasaan murid terhadap kata sendi nama.

        Kata kunci: Penguasaan, kata sendi nama, murid Tahun 4, ayat, kesalahan tatabahasa


        KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 |  27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU                                                                                                                                         61
   57   58   59   60   61   62   63   64   65   66   67