Page 63 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 63
Kajian Tahap Pengetahuan dan Pemahaman Guru Negeri Johor
Terhadap Pedagogi BIJAK BM
Shamsul Aizuwani Nawi, Ph.D
IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
shamsulaizuwani@ipgkbm.edu.my
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan tahap pemahaman guru yang mengikuti latihan
pedagogi BIJAK BM melalui latihan yang dilaksanakan secara dalam talian di negeri Johor. Kajian ini dilaksanakan
terhadap 80 orang guru yang mengikuti latihan BIJAK BM selama tiga hari melalui pelantar Google Meet. Kajian ini
menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik sebagai rujukan utama. Data dianalisis
secara deskriptif dengan menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 26. Hasil tinjauan
mendapati bahawa keseluruhan tahap pengetahuan guru negeri Johor terhadap pedagogi BIJAK BM berada pada
tahap sederhana iaitu dengan catatan min 3.15 (sp=.528). Seterusnya kajian menunjukkan bahawa tahap pemahaman
guru negeri Johor terhadap pedagogi BIJAK BM turut berada pada tahap sederhana iaitu dengan catatan min 3.14
(sp=.502). Hasil kajian menunjukkan bahawa guru-guru yang mengikuti latihan pedagogi BIJAK BM secara dalam talian
di negeri Johor berpengetahuan dan faham mengenai pelaksanaan BIJAK BM namun, latihan pedagogi BIJAK BM perlu
dilaksanakan secara bersemuka dengan dibekalkan modul, kit dan bahan bantu mengajar yang bersesuaian.
Kata kunci: Pengetahuan, pemahaman, pedagogi BIJAK BM, latihan dalam talian
---------- +++++ ----------
Reka Bentuk Modul Kemahiran Membaca Berasaskan
Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM)
untuk Guru-Guru Bahasa Melayu: Analisis Keperluan
Fauzi bin Hasan, Ph.D, A Jailani bin Che Abbas,
Anuar bin Mohd Len, Mohd Asri bin Harun
Abstrak
Kemahiran berbahasa merupakan kemahiran yang perlu dimiliki dan dikuasai oleh penutur sesuatu bahasa, khasnya
oleh individu yang bergelar guru. Terdapat empat aspek kemahiran bahasa yang diukur, iaitu kemahiran membaca,
mendengar, bertutur dan menulis. Kemahiran membaca amat bagi seseorang yang bergelar guru kerana menjadi individu
penting untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran membaca kepada murid-murid. Lantaran itu, kajian ini bertujuan
untuk meneliti tahap kecekapan membaca dan dapat membantu untuk membuat reka bentuk modul bagi kemahiran
membaca untuk guru-guru bahasa Melayu. Kajian ini dijalankan secara kualitatif, iaitu melalui temu bual dengan
lima orang guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah rendah. Hasil temu bual akan dianalisis secara deskriptif
berdasarkan persoalan-persoalan kajian. Berdasarkan dapatan kajian menunjukkan bahawa guru-guru memerlukan
modul kemahiran bagi memberi kecekapan membaca untuk membolehkan memahami dan menterjermah bahan bacaan
dengan tepat. Selain itu, dapat membantu guru-guru menyampaikan isi pengajaran dengan lebih berkesan.
Kata kunci: Guru Bahasa Melayu, kemahiran membaca dan reka bentuk modul
7
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 61

