Page 66 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 66
Penggunaan Peribahasa Untuk Merungkai Sikap Pelajar
Dalam Penilaian Kendiri dan Pelaksanaan Penyelidikan
Yuznaili Saleh, Ph.D, Zabedah Mohammed, Ph.D
Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Bahasa Melayu
yuznaili@ipgkbm.edu.my
Abstrak
Laporan kajian adalah bentuk penulisan ilmiah yang menggunakan laras bahasa formal. Terdapat pandangan yang
menyatakan penggunaan peribahasa menyebabkan penulisan ilmiah sukar untuk difahami. Dapatan kajian menggunakan
peribahasa bagi menunjukkan keupayaannya untuk menghurai sikap pelajar dalam penilaian kendiri dan pelaksanaan
penyelidikan. Responden kajian terdiri daripada pelajar PISMP Ambilan 2017. Reka bentuk kajian ini menggunakan
pendekatan gabungan dan kaedah turutan penjelasan. Dalam Fasa 1 pengumpulan data kuantitatif, responden menilai
keupayaan diri dalam pelaksanaan penyelidikan menggunakan skala Likert lima mata. Dapatan daripada instrumen itu
dibandingkan pula dengan skor sebenar yang diperoleh dalam tugasan Kursus Penyelidikan dalam Pendidikan. Perkara
ini dilaksanakan bagi mengenal pasti pelajar yang kurang upaya membuat penilaian kendiri. Dapatan menunjukkan
terdapat dua kelompok iaitu i. pelajar yang menilai diri rendah namun mendapat skor tinggi dalam tugasan. ii. pelajar
yang menilai diri tinggi namun mendapat skor rendah dalam tugasan. Implikasi daripada kajian ini berupaya memberi
makluman bahawa pelajar cemerlang mempunyai kualiti sikap yang berbeza yang boleh dijadikan pedoman bagi
pelajar yang ingin berjaya. Hasil kajian juga menunjukkan terdapat beberapa perkara yang menyebabkan pelajar kurang
berupaya membuat penilaian kendiri dengan tepat. Peribahasa yang digunakan bagi menerangkan sikap pelajar dalam
penilaian kendiri dan pelaksanaan kajian berupaya menjelaskan dengan baik sesuatu perkara secara berhemah.
Kata kunci: Penyelidikan, Peribahasa, sikap, nilai murni
---------- +++++ ----------
Pendekatan Modular Dalam Pengajaran Aspek Tatabahasa
Berdasarkan Teks KOMSAS Tingkatan Tiga
Azhar Md. Sabil, Shamsudin Othman, Noor Sahirani Binti Abllah
Universiti Putra Malaysia
azhar.sabil@upm.edu.my
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk membincangkan pendekatan modular dalam pengajaran aspek tatabahasa dengan
berdasarkan teks KOMSAS Tingkatan Tiga. Bagi mencapai matlamat Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM), khususnya penguasaan kemahiran berbahasa murid, pendekatan modular yang menekankan lima modul
dalam pengajaran bahasa Melayu telah diperkenalkan. Aspek tatabahasa merupakan antara fokus dalam mencapai
matlamat tersebut, manakala teks kajian KOMSAS pula telah menjadi bahan utama dalam pengajaran modul Aspek
Seni Bahasa. Dengan menggunakan teks kajian prosa genre novel Tingkatan Tiga, kajian ini memfokuskan pengajaran
ayat majmuk keterangan bahasa Melayu. Landasan utama pendekatan kualitatif kajian ini adalah dengan menerapkan
Teori Tranformasi Generatif Standard yang diaplikasikan dalam Tatabahasa Dewan (2015) dalam pengajaran proses
penerbitan ayat majmuk pancangan keterangan menggunakan pendekatan modular. Dalam pengajaran penerbitan
ayat majmuk pancangan keterangan, berlaku proses transformasi seperti pengguguran, peluasan dan penyusunan
semula. Pengajaran proses penerbitan ayat dilakukan berdasarkan struktur dalaman dan permukaan dengan rajah
pohon dan keterangan-keterangan yang berkaitan dalam bidang sintaksis. Dapatan analisis memperlihatkan novel
merupakan medium terbaik dalam menganalisis ayat-ayat bahasa Melayu dan sesuai dijadikan bahan pengajaran aspek
tatabahasa kerana melibatkan penggunaan golongan kata. Pengajaran menggunakan pendekatan modular sesuai
dalam mengajarkan aspek tatabahasa kerana pendekatan ini berupaya menjelaskan pola-pola ayat majmuk keterangan
yang komprehensif bagi menganalisis unit-unit kecil dalam proses penerbitan ayat.
Kata kunci: ayat majmuk pancangan keterangan, novel, pengajaran, pendekatan modular, rajah pohon
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 65

