Page 68 - BUKU PROGRAM KONBAYU 2021
P. 68
Kesan Penggunaan ‘Kit Saya’ Terhadap Peningkatan Penguasaan
Kemahiran Asas Membaca Murid Tahun Dua Sekolah Rendah
Nurhudaina binti Muhamad Pilus, Zanariah binti Hamid, Ph.D
IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur
pju17_c815@ipgkbm.edu.my
Abstrak
Kajian ini mengkaji kesan penggunaan Kit Saya terhadap peningkatan penguasaan kemahiran asas membaca suku kata
terbuka Konsonan-Vokal-Konsonan-Vokal (KVKV) murid Tahun Dua di sekolah rendah. Pengkaji telah menggunakan reka
bentuk kajian kuantitatif dan kaedah kuasi ekperimen Sampel kajian yang dipilih dalam kajian ini melibatkan seramai 64
orang murid serta ditentukan secara persampelan berkelompok. 64 orang murid ini kemudiannya dipecahkan kepada
dua kumpulan, iaitu 32 orang pada kumpulan kawalan dan 32 orang lagi pada kumpulan rawatan. Dalam kajian ini, Ujian
Kemahiran Bacaan Awal telah digunakan sebagai instrumen ujian pra dan ujian pasca. Dapatan analisis menunjukkan
bahawa terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahap pencapaian kemahiran asas membaca suku kata terbuka
bagi murid kumpulan kawalan dan murid kumpulan rawatan dalam ujian pasca (z=-5.755, p=0.00). Hasil dapatan ini
menunjukkan bahawa nilai min ujian pasca kumpulan rawatan (47.19) adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan
kawalan (38.91). Dapatan ini membuktikan bahawa penggunaan Kit Saya lebih berkesan berbanding Kad Imbas Suku
Kata dalam meningkatkan kemahiran asas membaca suku kata terbuka murid tahun dua. Maka, kajian ini memberi
implikasi terutama kepada pihak guru bahawa penggunaan Kit Saya sebagai bahan bantu mengajar yang berkesan
membantu meningkatkan penguasaan kemahiran asas membaca suku kata terbuka murid berbanding pendekatan
kaedah konvensional.
Kata kunci: Keberkesanan, Kit Saya, bahan bantu mengajar, kuasi eksperimen
---------- +++++ ----------
Keberkesanan “TESUKA” Bagi Meningkatkan Penyebutan,
Pembacaan dan Penulisan Perkataan Dalam Kalangan Murid Tahun Dua
Muhammad Affan bin Ahamad
Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi
ckgaffan@gmail.com
Abstrak
Penguasaan asas membaca dan memahami maklumat dalam kalangan murid perlu diberi perhatian oleh pendidik agar
memudahkan mereka untuk menguasai kemahiran menulis. Program Literasi dan Numerasi (PLaN) merupakan inisiatif
yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan murid menguasai Tahap Penguasaan
3 dalam subjek Bahasa Melayu. Fokus (PLaN) adalah menggalakkan guru membina bahan pengajaran yang menarik.
Isunya, mereka sukar membaca suku kata dengan sebutan yang betul. Mereka tidak dapat menyebut, membaca dan
menulis perkataan yang mengandungi dua suku kata dan tiga suku kata serta mudah hilang tumpuan semasa guru
mengajar kerana pengajaran yang membosankan dan tidak dapat mengingati suku kata yang disebut. Penyelidik
menggunakan pendekatan belajar sambil bermain melalui pembelajaran koperatif. Hal ini seiring dengan pembelajaran
abad ke-21 yang berlandaskan teori Zone Proximal Development (ZPD). Sampel kajian ini melibatkan 36 orang murid
tahun dua. Impaknya, suasana pembelajaran menyeronokkan, menjana Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan
guru sebagai fasilitator. Penyelidik menggunakan reka bentuk eksperimental. Data diperoleh melalui pemerhatian, ujian
pra dan ujian pasca serta soal selidik. Produk inovasi yang dihasilkan melalui gabungan konsep 3R bersama dengan
pembelajaran digitalisasi melalui penggunaan barang kitar semula. Produk inovasi ini sangat berpotensi besar untuk
dikomersialkan di pasaran kerana sangat mudah dihasilkan, ergonomik dan harganya sangat murah.
Kata kunci: literasi, suku kata, koperatif, scaffolding, belajar sambil bermain
KONBAYU KONVENSYEN BAHASA MELAYU 2021 | 27 - 29 JULAI 2021 | IPG KAMPUS BAHASA MELAYU 67

